Usaha yang diambil oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bersama Telekom Malaysia (TM) untuk meningkatkan liputan telekomunikasi di sekitar Cameron Highlands, tiada kena-mengena dengan kempen Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, tindakan yang diambil oleh SKMM, sebuah agensi di bawah kementeriannya, tidak boleh dilihat sebagai PH mengambil kesempatan untuk menggunakan jentera kerajaan bagi menyenangkan kehidupan penduduk di situ.

Ini kerana apabila sesebuah agensi kerajaan menerima aduan daripada pengguna, agensi tersebut yang akan bertindak untuk membantu, bukan menterinya.

"Bagi saya, apabila ada aduan dibuat, agensi tersebut yang akan menerima aduan, bukan saya. Selepas itu pastinya agensi tersebut akan ambil tindakan sewajarnya," jelas Gobind ketika ditemui pemberita di Pasar Tani Kampung Medang pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan penduduk di perkampung Orang Asli Pos Betau mengadu mereka tidak boleh mengguna telefon pintar mereka untuk membuat panggilan atau mengakses internet.

Menurut mereka, hanya satu menara telekomunikasi terdapat di kawasan itu dan ia tidak mampu menampung permintaan daripada kira-kira 3,000 penduduk dari 18 kampung yang terdapat di Pos Betau.

Susulan itu, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith dilaporkan berkata satu mesyuarat bersama SKMM dan TM akan diadakan hari ini bagi membincangkan isu tersebut.

"Saya diberitahu ada aduan dibuat tetapi saya tidak diberitahu tentang mesyuarat yang diadakan di Pos Betau hari ini," kata Gobind.

"Saya serahkan kerja-kerja itu kepada agensi yang berkenaan. Saya tidak masuk campur dalam hal ini," tambahnya.