Seorang ahli perniagaan yang disyaki membeli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen, Melaka lima tahun lalu, di tahan reman empat hari bermula hari ini.

Perintah tahanan reman sehingga 8 Mei, itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Ayer Keroh Melaka, Mohd. Anuar Ostadi terhadap suspek yang berusia 66 tahun susulan permohonan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Suspek yang memakai pakaian lokap SPRM dibawa ke mahkamah sekitar 10.30 pagi tadi.

Suspek ditahan pihak SPRM sekitar 12.15 petang semalam disyaki membeli tanah wakaf milik Masjid Al Hamideen di Bukit Cina, Melaka itu pada 2012 yang lalu.

Penahanan itu merupakan hasil siasatan lanjut berkaitan kes tangkapan dua individu sebelum ini yang terlibat dalam siasatan kes rasuah dan urusan jual beli tanah wakaf berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Terdahulu, pada Rabu lalu, pihak SPRM mendapat kebenaran menahan reman dua individu iaitu bekas pengerusi dan bekas setiausaha masjid berkenaan kerana disyaki menerima wang rasuah sebanyak RM116,000 dalam urusan jual beli tanah wakaf masjid tersebut.