Mungkin kebanyakan masyarakat beranggapan kehidupan di bandar besar lebih menyeronokkan tetapi realitinya kehidupan di kawasan perkampungan juga ada kelebihannya.

Bagi anak muda dari Pagoh yang berhijrah ke bandar, mereka kini boleh kembali ke kampung halaman kerana 'kesejahteraan' yang ditawarkan di kampung.

Seorang pemuda yang bekerja di ladang kelapa sawit, Abdul Manan Abdul Rahman, 33, dia mula mengikut jejak bapanya ke ladang sawit sejak berusia 14 tahun lagi.

Abdul Manan Abdul Rahman berkata, pendapatan di kampung adalah rendah tetapi kesejahteraan hidup di kampung adalah lebih penting.
Abdul Manan berkata, pendapatan di kampung adalah rendah tetapi kesejahteraan hidup di kampung adalah lebih penting.

Dia mengakui, pernah meninggalkan kampungnya untuk mencari rezeki di Kuala Lumpur tetapi jiwanya tetap mahukan suasana di kampung.

“Duduk kampung ini seronok, tetapi kita perlulah pandai mencari peluang pekerjaan di kampung. Kalau tak rajin, kita tak hiduplah,” kata beliau ketika ditemui Astro AWANI.

Walaupun pendapatan bekerja di ladang sawit tidak 'tebal poket', dia tetap merasakan pendapatan itu mencukupi ditambah dengan suasana aman tinggal di kampung.

“Duduk di kampung, hati sentiasa tenang kerana tak perlu berfikir pelbagai bil yang perlu dibayar. Inilah kelebihan hidup dalam suasana kampung,” ujarnya lagi.

Namun, beliau tetap mengharapkan beberapa penambahbaikan perlu dilaksanakan agar kehidupan di kampung lebih teratur.

Menurut seorang veteran, Ilyas Arsyad, 75, kos sara hidup di kampung lebih baik jika dibandingkan hidup di bandar yang memerlukan 'pengorbanan' wang ringgit.

“Kalau di kampung, mungkin RM2,000 sudah cukup tetapi di bandar kita perlukan RM4,000. Lebih baik duduk di kampung kerana di sini tak perlu berbelanja lebih,” katanya.

Cikgu Ilyas Arshad ditemui berdekatan kawasan penternakan lembu di Lenga, Bukit Kepong.
Cikgu Ilyas Arshad ditemui berdekatan kawasan penternakan lembu di Lenga, Bukit Kepong.

Tambah pesara guru itu, tidak rugi tinggal di kampung jika bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi di bandar.

Inilah kisah penduduk kampung di Lenga yang terletak di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.