Usul Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mendesak Kerajaan Persekutuan memberi rawatan perubatan dengan segera kepada Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat tidak penting kepada rakyat negeri itu sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Panjang (BN), Budiman Mohd Zohdi berkata, usul itu seharusnya dibangkitkan di Parlimen dan bukan di DUN Selangor.

"Apa rasionalnya usul ini dibahaskan di dewan yang mulia ini kerana tiada kaitan langsung dengan kesejahteraan rakyat negeri ini.

"Saya mahu usul ini digugurkan kerana tiada wakil kementerian di bawah Kerajaan Pusat di dalam DUN Selangor.

"Bangkitkan isu ini di Dewan Rakyat yang mana Timbalan Presiden PKR yang juga Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali adalah Ahli Parlimen Gombak manakala anak kepada Anwar, Nurul Izzah juga merupakan Ahli Parlimen Lembah Pantai," katanya semasa sidang DUN Selangor di sini hari ini.

Usul tersebut dibangkitkan Dr Xavier Jayakumar (PKR-Sri Andalas) dan disokong oleh Rodziah Ismail (PKR-Batu Tiga) sebelum Speaker, Hannah Yeoh mengumumkan usul tersebut diterima selepas sesi perbahasan dibuat.

Dalam pada itu kata Dr Xavier, Anwar yang kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan meliwat pembantu peribadinya sebelum ini tidak menerima rawatan perubatan yang sempurna.

"Kita tidak minta rawatan istimewa, kita minta rawatan yang sempurna," katanya.

Bagaimanapun perbahasan Budiman akhirnya dihentikan Speaker Dewan, Hannah Yeoh kerana disifatkan tidak memahami usul yang dibangkitkan.

Sementara itu, Datuk Mohd. Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) melihat tuduhan Anwar tidak mendapat rawatan sempurna tidak berasas semata-mata.

"Maklumat yang diperolehi mendapati Anwar mendapat rawatan daripada tujuh doktor pakar. Jadi usul ini sekadar cubaan untuk mengelirukan rakyat kononnya Anwar dizalimi.

"Kalau tidak mengapa Anwar mendapat keistimewaan di penjara? Keluarganya juga boleh memilih doktor pakar sendiri dan ia jelas berlainan dengan layanan yang diterima banduan lain," ujarnya.

"Saya dapat maklumat Kementerian Kesihatan telah menyediakan rawatan secukupnya untuk Anwar termasuk doktor-doktor pakar.

"Malah ahli keluarga beliau juga diberi peluang memilih doktor pakar sendiri dan kesemua keistimewaan ini adalah tidak diberikan kepada banduan lain," jelasnya.

Berdasarkan rekod, Anwar telah bertemu doktor di Penjara Sungai Buloh sebanyak 78 kali, doktor pakar panel di Penjara Sungai Buloh sebanyak 27 kali dan mengadakan pertemuan fisioterapi di Penjara Sungai Buloh sebanyak 12 kali.

Dari Februari hingga 28 Okt lepas, Anwar telah berjumpa dengan keluarganya di Penjara Sungai Buloh sebanyak 13 kali, di hospital (10 kali) dan di mahkamah (10 kali).

Sementara itu, isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail yang juga Presiden PKR dilaporkan telah mendesak supaya Anwar dirawat di luar negara.