KUALA LUMPUR: Keadaan banjir di Melaka pulih sepenuhnya petang ini, Selangor pula bertambah baik manakala Kedah kekal seperti pagi tadi.

Di MELAKA, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol Cuthbert John Martin Quadra berkata walaupun banjir pulih namun terdapat empat orang daripada dua keluarga masih ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal, Alor Gajah.

Beliau berkata kesemuanya berada di PPS itu kerana bekalan elektrik di rumah masing-masing belum disambung semula dan dijangka pulang ke kediaman esok.

Di SELANGOR, Portal Bencana Pusat Kawalan Bencana Negara memaklumkan setakat 4 petang tadi, seramai 34 orang daripada 11 keluarga berada di tiga PPS di Sepang berbanding 50 orang daripada 15 keluarga, pagi tadi.

Tiga PPS yang masih dibuka adalah Sekolah Rendah Agama Kampung Giching yang menempatkan 31 orang dan Balai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Giching menempatkan tiga orang.

Dewan MPKK Kampung Giching masih dibuka namun tiada sebarang mangsa ditempatkan.

Di KEDAH, Ketua Bahagian Operasi Bencana APM Saifuddin Abdullah berkata mangsa yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dekat Pendang kekal 139 orang daripada 35 keluarga dan setakat 4 petang, Tanah Merah serta Kota Setar mengalami hujan lebat.

-- BERNAMA