Bantu golongan kurang bernasib baik pada bulan Ramadan - Sultan Mizan

Bantu golongan kurang bernasib baik pada bulan Ramadan - Sultan Mizan
Sultan Mizan turut mengajak seluruh umat Islam di Terengganu menggandakan amalan ibadah, memantapkan akidah dan berakhlak 'mahmudah' pada bulan Ramadan. - BERNAMA/Fail
KUALA TERENGGANU: Sempena Ramadan, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin bertitah menyeru seluruh umat Islam menyumbang dan membantu golongan yang kurang bernasib baik tanpa mengira di dalam mahupun luar negara.

Baginda bertitah melalui sumbangan itu kesusahan golongan yang tidak berkemampuan akan dapat dirasai bersama-sama.

"Amalan ini sebenarnya mampu meningkatkan tahap ihsan manusia untuk berkongsi rezeki dan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada golongan yang kurang berkemampuan," titah baginda dalam perutusan sempena Ramadan tahun ini.
Umat Islam di negara ini memulakan ibadah puasa hari ini seperti yang diumumkan Penyimpan Mohor Besar Raja-raja Datuk Seri Syed Danial Syed Ahmad pada Ahad.

Selain itu, Sultan Mizan turut mengajak seluruh umat Islam di Terengganu menggandakan amalan ibadah, memantapkan akidah dan berakhlak 'mahmudah' pada bulan Ramadan, sama ada secara bersendirian atau berjemaah, di mana-mana sahaja.

"Aktiviti beribadah secara berjemaah di masjid dan surau juga diharap dapat memupuk semangat perpaduan di kalangan masyarakat Islam di negeri ini," titah baginda.

Dalam pada itu, baginda mengajak rakyat memperbanyakkan rasa syukur kepada Allah yang telah memberi peluang sekali lagi untuk menjadi tetamu-Nya pada bulan Ramadan yang penuh keberkatan, kerahmatan dan keampunan.

Ini kerana, terdapat mereka yang tidak sedar dan menyangka Ramadan tahun lepas adalah yang terakhir untuk mereka, titah baginda.

"Ada pula di antara kita diberi peluang bertemu semula Ramadan kali ini, tetapi mensia-siakan pula ganjaran Allah yang ditawarkan dalam bulan penuh keberkatan dan keampunan ini.

"Puasa bukan sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga serta perbuatan yang membatalkan puasa tetapi lebih daripada itu kerana perlu menahan diri daripada perbuatan yang boleh mengurangkan pahala puasa," titah baginda. -- Bernama





 

Tag: Sultan Terengganu, Islam, Ramadan, Allah, rakyat, perpaduan, puasa, Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Mizan Zainal Abidin, ramadanawani1440, Jendela Ramadan


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.