Biro Kebajikan UMNO akan menyalurkan bantuan segera kepada mangsa banjir termasuk fasa selepas pemulihan bencana di setiap kawasan terlibat.

Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, langkah itu penting untuk memastikan penyelarasan bantuan daripada biro sama di peringkat negeri berkenaan.

"Biro Kebajikan UMNO Malaysia telah mendengar dan meninjau kawasan kawasan yang terlibat. Lanjutan daripada itu dalam kadar segera kita akan bantuan sewajarnya kepada mangsa yang terlibat.

"Ia supaya semua mangsa diberikan bantuan selain pihak saya akan menyelaraskan dengan UMNO Negeri dan juga pimpinan tempatan di kawasan yang dilanda banjir," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Pada pagi Ahad, jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di 13 pusat pemindahan banjir di Melaka semakin meningkat kepada 2,659 orang daripada 587 keluarga.

Ia melibatkan tujuh pusat penempatan banjir dibuka di Alor Gajah dan masing-masing tiga di Melaka Tengah dan Jasin.

Dalam pada itu kata Shamsul, bironya akan memberikan bantuan terutama pada fasa selepas banjir pulih dan mangsa pulang ke rumah.

"Ini amat penting kerana pastinya penduduk terlibat akan mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda akibat banjir ini.

"Apapun kita harap penduduk bersabar kerana pelbagai pihak sedang membantu sekarang dan Biro Kebajikan UMNO Malaysia akan membantu mereka yang terlibat," ujarnya.

Selain Melaka, Negeri Sembilan turut mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir kepada 671 orang daripada 166 keluarga pada pagi Ahad.

Ia melibatkan tujuh pusat pemindahan dibuka iaitu lima di daerah Tampin dan masing-masing satu di daerah Rembau serta Port Dickson.