Kerajaan Negeri Perak mencadangkan pembayaran bantuan khas kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada penjawat awam negeri yang akan dibayar pada akhir Disember ini dan Mei 2019.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pembayaran itu sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen serta dedikasi hampir 9,000 penjawat awam di negeri ini.

Menurut beliau, bantuan khas itu juga dipanjangkan kepada guru sandaran tidak terlatih (GSTT), pekerja sambilan harian (PSH), guru tadika Islam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) dan guru Thanawi.

"Guru takmir, guru i'dadi, imam, bilal, siak, Ketua Kampung dan Tok Batin turut mendapat manfaat bayaran bantuan khas kewangan RM1,000 dan pembayaran pertama pada akhir Disember 2018 dan baki pada Mei 2019," katanya ketika membentangkan Bajet Negeri 2019 di Sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Di samping itu, kata Ahmad Faizal, sebanyak RM2 juta disediakan bagi pemberian insentif khas kepada kepada golongan pesara kerajaan negeri.