Selepas menghadapi 37 pertuduhan rasuah minggu lalu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Isnin atas dua pertuduhan.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, dia didakwa bersubahat dengan anaknya Abdulazeez Wan Ruslan yang turut dituduh di mahkamah sama atas dakwaan menerima suapan berjumlah RM250,000 daripada individu yang sama pada Mei tahun lalu.

Bagaimanapun, kedua-dua beranak itu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan apabila pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan hakim S. Indra Nehru.

Zahrah dituduh bersubahat dengan Abdulazeez menerima suapan berjumlah RM200,000 dan RM50,000 daripada Samhan Adnan secara deposit tunai di Maybank Islamic Berhad Cawangan Menglembu, Ipoh pada 18 dan 25 Mei 2018.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh selaku CEO SSM dan Ahli Jawatankuasa Pelaburan SSM didakwa bersubahat menerima rasuah itu sebagai upah meluluskan Memo Dalaman Bahagian Kewangan dan Akaun, Seksyen Pelaburan dan Pengurusan Kewangan bertajuk Pemilikan Kepentingan Saham Keutamaan ‘Preference Shareholder’ syarikat Ace Holdings Berhad bertarikh 19 April 2018.


Zahrah didakwa di bawah Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala Abdulazeez pula didakwa di bawah Seksyen 16(A)(A) akta yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Shahir Abdul Razak, Syaiful Nazrin Mohd Rahim, Mohd Faizal Mohd Aris dan Dorina Abdullah.

Nurul Wahida memohon mahkamah untuk memindahkan kesemua kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur bagi membolehkannya dibicarakan secara bersama dengan pertuduhan lain yang dihadapi kedua-dua beranak itu.

Indera Nehru kemudiannya membenarkan permohonan itu.


Pada Rabu lalu, Zahrah didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dengan 33 pertuduhan manakala, Abdulazez dengan empat pertuduhan.

Kedua-dua mereka mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan tersebut.