Polis menahan seorang lelaki berusia 26 tahun kerana disyaki sengaja membakar sebuah kereta dan dua buah motosikal di sebuah stesen minyak di Betong, kira-kira 254 km dari sini hanya kerana berang selepas mendakwa tidak menerima baki wangnya selepas mengisi minyak di stesen berkenaan.

Ketua Polis Daerah Betong, DSP Zamry Alli yang mengesahkan kes itu berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 9.00 pagi tadi apabila pekerja stesen minyak berkenaan enggan membayar balik baki wang kepada suspek yang sebelum itu mendakwa menyerahkan wang tunai RM100 untuk membeli minyak dan minuman ringan.

"Pekerja stesen itu pula mengatakan suspek belum membuat apa-apa bayaran untuk pembelian yang didakwanya itu, yang menyebabkan suspek marah dan bertindak membakar kenderaan-kenderaan di situ," katanya ketika dihubungi Bernama.

Menurutnya polis akan mengemukakan permohonan reman ke atas lelaki berkenaan untuk disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api sehingga menyebabkan kebakaran kepada kenderaan.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak dalam kenyataannya berkata satu laporan "i-alert" berhubung kejadian kebakaran itu telah diterima kira-kira pukul 8.53 pagi tadi dan berjaya dipadamkan seorang sukarelawan bomba tempatan dengan bantuan pekerja-pekerja stesen minyak berkenaan.

-- BERNAMA