Beri peluang semak RUU sebelum dibentang

Beri peluang semak RUU sebelum dibentang
Fadillah berkata empat perkara berkenaan tidak terbuka untuk rundingan bagi mempertahankan hak dan autonomi Sarawak. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kapit, Datuk Alexander Nanta Linggi menggesa agar cadangan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan perlu disemak dan difahami oleh kerajaan Sarawak sebelum dibentangkan di Parlimen.

“Sebelum bentang, kerajaan Sarawak diberi peluang bersetuju dengan kerajaan pusat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak perlu setuju barulah kita terima,” katanya.
Ketika berbahas di Dewan Rakyat, Alexander turut berkata yang lebih penting adalah pelaksanaan selepas perkara itu dibentang dan dipersetujui. Lebih penting, ia mesti mematuhi sepenuhnya Perjanjian Malaysia 1963 atau MA63.

Pendirian itu dipersetujui Ahli Parlimen Petrajaya, Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut berkata, empat perkara itu tidak terbuka untuk rundingan bagi mempertahankan hak dan autonomi Sarawak.

Ia termasuk kuasa imigresen, sempadan, kedaulatan tanah dan hasilnya serta hak menguatkuasakan undang-undang negeri.

“Di peringkat Sarawak kita rasa ada hak-hak patutnya dilaksanakan dulu tidak dilaksana. Malah ada hak yang diambil tanpa memikirkan semangat 63 dan pembentukan Malaysia sendiri.”