Usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) melebarkan sayap ke Sarawak tidak sia-sia apabila ramai rakyat Sarawak yang berminat menyertai parti itu.

Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata setakat ini hampir 30,000 ahli telah menyertai parti itu di negeri tersebut dan pelancaran parti akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau juga berkata kepimpinan Bersatu Sarawak akan ditentukan supaya tidak berlaku pertindihan.

"Kita terima semua permintaan untuk menjadi ahli parti Pribumi tetapi kita nak tentukan supaya tidak ada bertindih berkenaan kepimpinan bahagian-bahagian di Sarawak," katanya pada sidang media di ibu pejabat Bersatu, di sini lewat malam tadi.

Jun lalu, Dr Mahathir mengumumkan penubuhan Bersatu di Sarawak seiring dengan rakan komponennya dalam Pakatan Harapan seperti DAP, PKR dan Amanah yang sudah lama bertapak di negeri tersebut.

Sarawak menjadi satu-satunya negeri di luar Semenanjung yang memiliki cawangan Bersatu setelah pimpinan parti itu memutuskan untuk tidak memasuki Sabah.