Kerajaan akan terus mencari jalan paling optimum untuk meningkatkan pendapatan isi rumah menggunakan bajet subsidi kepada pesawah.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub menyifatkan cadangan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang Kebangsaan mengenai pemberian subsidi kepada industri padi baru di peringkat perbincangan.

Katanya, kerajaan akan kaji secara mendalam kerana tidak mahu subsidi hanya diberikan, tetapi pendapatan isi rumah pesawah tidak meningkat.

"Kita mesti pelbagaikan bagaimana untuk menggunakan subsidi itu untuk meningkatkan pendapatan isi rumah mereka.

"Saya harap petani jangan keliru dan terpedaya kononnya kita nak kurangkan subsidi. Kita nak pikir bagaimana nak tingkatkan pendapatan isi rumah tu berdasarkan subsidi yang kita berikan," katanya selepas lawatan kerja ke projek usahawan tani bukit damar pada Selasa.

Pada Isnin, Majlis Penasihat Kerajaan yang mengadakan perbincangan dengan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) mencadangkan supaya isu pemberian subsidi kepada industri padi dapat diadaptasi dengan dikembangkan tanaman lain yang dapat mendatangkan pulangan tinggi kepada pesawah atau petani.

Antara cadangan daripada perbincangan terbabit ialah mengenalpasti ruang dan pendekatan yang lebih efektif untuk meningkatkan pendapatan pesawah padi dan mengambil kira faktor peningkatan kualiti hidup keluarga petani dan pesawah.

Malah perbincangan terbabit turut mencadangkan untuk menggantikan komoditi padi dengan tanaman-tanaman lain seperti sayuran cili, timun, halia, rock melon dan untuk buah-buahan seperti durian, manggis, durian belanda dan kelapa varieti baharu yang memberi pulangan harga yang lebih lumayan, dan berupaya dieksport.