Penemuan DNA milik seorang pengawal keselamatan pada lampin bayi merupakan antara alasan lelaki terbabit diperintah membela diri terhadap pertuduhan membunuh seorang wanita yang sedang berpantang, tiga tahun lepas.

Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Mohd Azman Husin ketika membuat keputusan tersebut turut berpuas hati bahawa tertuduh, Mohd Azmirul Shamsuddin, 39 tahun, sedar bahawa tindakannya itu boleh menyebabkan kematian mangsa.

"Sehubungan itu mahkamah berpuas hati bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie dan tertuduh diperintah membela diri terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan hari ini.

Mahkamah menetapkan 24 Sept ini untuk Mohd Azmirul yang memilih memberi keterangan dari kandang saksi, membela diri.Peguam Halim Ashgar Mohd Hilmi yang mewakili tertuduh dijangka memanggil anak guamnya itu sebagai saksi tunggal pembelaan.

Mohd Azmirul didakwa menyebabkan kematian Rabiatul Adawiah Abd Aziz, 23, di sebuah apartmen di Sungai Way, Petaling Jaya dekat sini, kira-kira 8.22 malam pada 4 Mac 2015.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan keterangan pakar patologi sebelum ini, bedah siasat yang dijalankan ke atas mayat mangsa mendapati wanita itu meninggal dunia kerana lemas (suffocation).

Sepanjang perbicaraan yang bermula November tahun lepas, Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kasim yang mengendalikan pendakwaan mengemukakan 14 saksi.

Media sebelum ini melaporkan wanita itu yang baru sahaja dua bulan melahirkan anak dijumpai mati dalam keadaan tangan dan kaki terikat serta mulut disumbat, bersebelahan dengan bayi lelakinya.

Bayi itu tidak mengalami sebarang kecederaan.-- BERNAMA