Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti kira-kira 1,400 rakyat Malaysia yang masih tidak melakukan ujian saringan kedua COVID-19 selepas pulang dari luar negara.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, susulan itu KKM sedang menjalankan proses pengesanan bagi membolehkan mereka menjalani ujian tersebut.

"Kita telah mengenal pasti individu-individu itu. Kita ada maklumat dan alamat mereka.

"Kita telah jalankan ujian swab pada hari pertama dan kumpulan ini perlu menjalani ujian saringan kedua pada hari ke-13 sebelum hadir ke klinik pada keesokkan harinya," katanya pada sidang media di Putrajaya di sini, pada Rabu.

Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu, polis akan mencari 1,400 rakyat Malaysia yang diarahkan menjalani kuarantin di rumah selepas pulang dari luar negara tetapi masih enggan melakukan saringan kedua COVID-19.

Beliau memberitahu, meskipun mereka dikuarantin di rumah, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, ia termasuklah menjalani saringan kedua pada hari ke-13 kuarantin bagi memastikan mereka benar-benar bebas daripada jangkitan itu.

Beliau turut menegaskan bahawa mereka yang melanggar SOP akan dikenakan tindakan bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).