Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat satu lagi kes kematian akibat COVID-19, menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di Malaysia sebanyak 77 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat 12 tengah hari Isnin, terdapat 134 kes positif baharu dan ia menjadikan jumlah kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 4,817 kes.

Kata Dr Noor Hisham, terdapat 168 kes yang telah pulih dan dibenarkan discaj sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang telah pulih sepenuhnya adalah sebanyak 2,276 kes yang bersamaan dengan 47.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Oleh itu, setelah kes kumulatif ditolak dengan kes discaj dan kematian, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID- 19 adalah 2,464 kes. Mereka telah diasingkan dan diberi rawatan di hospital.

“Sehingga kini, seramai 66 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU). Daripada jumlah tersebut, 36 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya dalam sidang media harian pada Isnin.


Beliau juga berkata, pertambahan satu lagi kes kematian berkaitan COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di negara ini adalah sebanyak 77 kes (1.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes).

Sementara itu, Dr Noor Hisham menerusi kenyataan terbaharu di Facebook memaklumkan telah berlaku sedikit ralat tentang penambahan satu kes kematian setakat Isnin.

Kes kematian ke-77 (kes ke-2797) adalah merupakan kontak rapat kepada kes indeks (iaitu kes ke-703). Ini bermakna kes ke-2797 tersebut bukan merupakan kes indeks dan tidak menyertai perhimpunan di Seri Petaling.