Polis Marin Wilayah 4 Sabah berjaya menumpaskan satu cubaan menyeludup sejumlah minuman keras, rokok serta mercun tidak lulus Kastam bernilai RM8.3 juta di Kampung Bontoi, Tamparuli, baru-baru ini.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, dalam serbuan jam 12 tengah hari Rabu lalu itu, pihaknya berjaya merampas pelbagai jenama barangan seludup itu yang disyaki cuba mengelak daripada cukai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, tiga lelaki termasuk dua warga asing berumur antara 20 hingga 40 tahun turut ditahan dalam kejadian itu bagi membantu siasatan.

Antara barangan berjaya dirampas adalah 114, 350 bungkus pelbagai jenis rokok Astro, Era, Apache, Gudang Garam, Wifi, Premium, Canyon serta Tex Light yang dianggarkan bernilai RM557,830 pada harga sebelum cukai dan mampu mencecah RM5.5 juta selepas dikenakan cukai kastam.

Selain itu, pihaknya turut menemukan sebanyak 2,746 kotak minuman keras pelbagai jenama termasuk Hotlandia Extra Stout, Hotlandia, Carlsberg, Tiger, Label 5, Chivas, Jack Daniel, dan sebagainya bernilai RM2.6 juta selain pelbagai jenis mercun bernilai RM6,235.

"Intipan dan pemerhatian dilakukan sejak 21 Januari 2019 jam 12 tengah hari , di mana semasa intipan dijalankan didapati ada aktiviti atau pergerakan orang yang mebawa keluar masuk minuman keras dan rokok di stor tersebut.

"Dan hasil daripada pemeriksaan mendapati tiga orang daripada lokasi sedang menjalankan pemungahan barang-barang daripada van ke dalam stor rumah tidak bernombor.

"Pemeriksaan lanjut telah menemui pelbagai jenis rokok minuman keras dan mercun disimpan dalam rumah berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media di Markas PPM Wilayah 4 Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Hadir sama adalah Komander PPM Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Mohd Yusoff Mamat dan Komander PPM Wilayah 4 Sabah Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali.

Mengulas lanjut, Omar berkata, siasatan awal tidak menolak kemungkinan barangan dirampas itu merupakan bekalan bagi menjelangnya perayaan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 (pindaan 2018) dan Akta Bahan letupan 1957 bagi rampasan mercun.