Persidangan Dewan Rakyat pada Khamis meluluskan Rang Undang-undang Perancangan Bandar dan Desa (Pindaan) 2016, yang mewajibkan sebarang rancangan pembangunan fizikal mendapat nasihat Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

Rang undang-undang itu diluluskan dengan undi belah bahagian yang menyaksikan 63 anggota Parlimen bersetuju manakala 51 lagi tidak bersetuju.

Terdahulu, semasa menggulung rang undang-undang itu, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar berkata pindaan tersebut akan membolehkan projek-projek utama dibincangkan pada platform MPFN.

Beliau berkata sebarang perundingan akan dapat diselaraskan dengan lebih baik melibatkan negeri dan kerajaan persekutuan.

Katanya, RUU itu juga akan membolehkan setiap pembangunan dibuat Penilaian Impak Sosial (SIA) yang memberi faedah kepada rakyat.

"Ini supaya permasalahan dan bantahan penduduk di peringkat pelaksanaan dapat diberi perhatian lebih awal," kata Noh.

Persidangan bersambung esok bagi pembentangan Bajet 2017 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. - Bernama