Setelah dua minggu tidak datang melawat, seorang lelaki terkejut apabila mendapati abangnya hanya tinggal rangka di dalam rumah.

Dalam kejadian di Kampung Padas Valley, di sini kira-kira jam 5.27 petang pada Khamis, mangsa lelaki berusia 75 tahun itu ditemukan dengan keadaan tinggal tengkorak dan disyaki meninggal dunia sejak beberapa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Azmir Abdul Razak berkata, jarak rumah mangsa dan adiknya adalah kira-kira 50 meter yang terletak di kawasan hutan.

"Berdasarkan maklumat awal yang diterima, pengadu berusia 65 tahun dikatakan pergi melawat abangnya di rumah tersebut sebelum mengadu tercium bau busuk.

"Mengesyaki sesuatu pengadu naik dan masuk ke dalam rumah dan terkejut apabila menjumpai mayat yang tinggal rangka dipercayai abangnya," kata beliau ketika dihubungi Astro AWANI.

Anggota polis menjalankan siasatan selepas dimaklumkan mengenai penemuan rangka manusia itu. - ihsanPDRM

Mengulas lanjut, Azmir berkata, mangsa dikatakan tinggal bersendirian di rumah itu sejak lebih 30 tahun lalu.

"Mangsa juga dipercayai mempunyai masalah mental namun tidak pernah mendapatkan rawatan dari mana-mana hospital.

"Walaupun jarak rumah pengadu dengan rumah si mati adalah dekat tetapi rumah mangsa tidak kelihatan kerana diliputi hutan dan pokok-pokok tinggi. Kali terakhir pengadu berjumpa dengan mangsa ialah pada dua minggu lalu atas urusan menghantar bekalan makanan," katanya.

Jelasnya, tiada sebarang unsur jenayah dilaporkan setakat ini dan kes itu diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut.

Azmir berkata, rangka dan tengkorak mangsa sudah dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.

Mayat mangsa yang tinggal rangka ditemui di rumahnya. - ihsan PDRM