PUTRAJAYA:Operasi Benteng pada Isnin berjaya melakukan tangkapan melibatkan 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dan dua penyeludup.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam satu kenyataan berkata, dalam operasi itu sebuah bot dan empat kenderaan darat turut berjaya dirampas.

“Sebanyak 81 Sekatan Jalan Raya (SJR) Operasi Benteng dilaksanakan semalam.

“Sejak 1 Mei hingga 28 September 2020, seramai 7,389 individu telah ditahan yang melibatkan 750 tekong, 6,344 PATI dan 295 penyeludup.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguat kuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya.

Tambah beliau, penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 650 premis perniagaan.

“Secara keseluruhan bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperolehi.

“Pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga telah melakukan 948 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 933 premis mematuhi SOP yang telah ditetapkan.

“Manakala 15 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP,” ujarnya.