Dua remaja yang menunggang motosikal maut selepas terlibat dalam dua kemalangan berasingan di sini, kelmarin.

Dalam kejadian pertama, Muhammad Aiman Hanif Omarni, 16, melanggar bahagian belakang kereta jenis Proton Saga yang dipandu seorang lelaki, 22, ketika dalam perjalanan ke rumah rakannya ke Taman Melati Beseri di sini.

Mangsa cedera parah di kepala sebelum dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) untuk rawatan lanjut.

"Aiman dalam keadaan kritikal sebelum disahkan meninggal dunia 12.30 tengah hari tadi," kata ibu mangsa, Suzie Aniza Sidar, 42, ketika ditemui di kediamannya di Taman Santan II di sini, semalam.

Dalam kejadian berasingan, seorang remaja, Muhammad Yusfaisal Hashim, 17, maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar kereta di Jalan Kangar-Padang Besar, dekat Empangan Timah Tasoh, di sini.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Supt Rizani Che Ismail ketika dihubungi mengesahkan kedua-dua kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.