Empat laluan susur masuk ke Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) akan dinaiktaraf secara berperingkat bagi memberikan keselesaan kepada pengguna.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri, Rosli Othman berkata ia membabitkan susur masuk Plaza Tol Kuala Terengganu, Plaza Tol Kerteh, Plaza Tol Kijal dan Plaza Tol Chukai.

Menurut Rosli, kerja menaiktaraf termasuk meninggikan jalan, meluruskan dan melebarkan jalan dari dua lorong menjadi empat lorong serta menyediakan sistem tebatan banjir di sepanjang laluan terbabit.

Selain itu, beliau berkata, kawasan rehat dan rawat (R&R) dan stesen minyak yang tertangguh sebelum ini dijangka mula beroperasi pada tahun ini.

"Saya rasa dalam masa terdekat ni saya difahamkan kawasan R&R di sepanjang lebuhraya akan mula beroperasi tahun ini dan proses untuk mengadakan stesen mimnyak di sepanjang lebuhraya bagi memberikan keselesaan yang lebih kepada pengguna lebuhraya," katanya selepas program 'Kembali ke Sekolah dan Gunting Rambut Percuma' kepada pelajar di Tapak Pasar Tani, Bandar Kerteh di sini, hari ini.

Beliau berkata, laluan dari Plaza Tol Chukai Ke Bandar Chukai, Kemaman sejauh 20 kilometer akan dimulakan awal tahun ini, membabitkan kos sebanyak RM74 juta.

Manakala tiga lagi projek masih dalam proses mendapatkan peruntukan dari kerajaan pusat dan dijangka akan dimulakan pada tahun 2017.