Pencerobohan gajah liar di Gugusan FELDA Umas di Kalabakan, Tawau semakin kritikal dan membawa kepada risiko keselamatan dan kerosakan harta benda selain kerugian yang terpaksa ditanggung oleh peneroka.

Akibat konflik antara gajah dan manusia di kawasan berkenaan, FELDA dan peneroka menanggung kerugian akibat kerosakan tanaman sawit yang mencecah RM430,000 dalam tempoh enam bulan sejak Januari lalu.

Sehubungan itu, pengurusan tanah rancangan berkenaan dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar (JHL) Tawau serta Jabatan Perhutanan Sabah (JPS) melancarkan operasi menangkap dan memindahkan gajar liar terbabit.

Pada Ahad, empat gajah liar dipindahkan dari kawasan itu ke Hutan Simpan Gunung Rara sejauh 100 kilometer dari FELDA berkenaan.

Ketua Unit Rancangan Perladangan FELDA, Izham Mustafa, berkata operasi pemindahan itu membabitkan kos RM80,000.

"Disebabkan kos tinggi, kita akan berusaha mewujudkan pusat perlindungan gajah di kawasan yang bersesuaian.

"Sebelum ini ada gajah yang pernah dipindahkan datang kembali ke kawasan ladang FELDA. Jadi, cadangan membuka pusat perlindungan agak praktikal kerana membolehkan penjagaan lebih teratur.

"Pusat berkenaan juga boleh dijadikan lokasi ekopelancongan di negeri ini kelak," katanya.

Sementara itu, Ketua Peneroka FELDA Wilayah Sahabat Sabah, General Linjal, berpuas hati kerana FELDA memahami masalah mereka berhubung kehadiran gajah itu.

"Kita harap masalah ini dapat diselesaikan dengan segera kerana ramai peneroka mengalami kerugian dan ada juga yang takut jika terserempak dengan gajah terbabit," katanya.