Harga runcit RON95 dan diesel kekal masing-masing pada RM2.08 dan RM2.18 seliter bermula tengah malam ini hingga 5 April 2019.

Harga RON97, bagaimanapun, meningkat 2 sen kepada RM2.63 seliter, menurut kenyataan oleh Kementerian Kewangan pada Jumaat.

"Berdasarkan pengiraan di bawah formula APM, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh 30 Mac 2019 sehingga 5 April 2019 sepatutnya adalah sebanyak RM2.33 seliter dan RM2.36 seliter masing-masing.

"Namun, harga runcit produk petrol RON95 dan diesel bagi tempoh di atas adalah dikekalkan pada paras RM2.08 seliter dan RM2.18 seliter selaras dengan keputusan Kerajaan untuk menstabilkan harga runcit bagi produk petroleum dan mengurangkan kos sara hidup rakyat," menurut kenyataan itu lagi.