Tidak perlu berdebat sebaliknya ukur indeks pencapaian prestasi KPI sepanjang satu penggal memerintah Lembah Pantai.

Berikut adalah jawapan diberikan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin ketika diminta mengulas mengenai tawaran debat oleh ahli parlimen kawasan tersebut, Nurul Izzah Anwar.

“Bagi saya tiada keperluan untuk berdebat namun yang lebih penting adalah hasil kerja sepanjang bertugas. Pengundi mengundi kerana hasil yang cemerlang dan bukan hanya dengan kata-kata sahaja,” ujar Nong Chik.

Tempoh hari Nurul Izzah dilaporkan menghantar surat rasmi menjemput Nong Chik untuk berdebat yang dijadualkan pada 24 Februari depan.

Tambah Nong Chik, rakyat setempat boleh menilai sendiri sama ada pemimpin mereka hanya pandai bercakap sahaja mahupun bekerja demi rakyat.

Nong Chik berkata demikian ketika ditemui di Universiti Malaya (UM) sewaktu menyerahkan baucer buku (BR1M) 1Malaysia.

Baucer tersebut bakal memberi manfaat kepada 25,279 pelajar UM yang dianggarkan bernilai RM6 juta.