Seorang lelaki yang sedang leka mencari raksasa maya, Pokemon, melalui aplikasi telefon bimbitnya di kawasan tebing Sungai Kinta, Riverwalk terkejut apabila pencariannya membawa kepada penemuan mayat tergantung di sebatang pokok besar pada tengah hari Selasa.

Lelaki yang tidak ingin dikenali itu berkata, dia berada di situ kerana kawasan itu yang sememangnya tekenal sebagai hotspot Pokemon GO dan mahu meluangkan masa cuti sekolah bermain permainan yang digemarinya.

“Saya sedang berjalan-jalan di sekitar laluan pejalan kaki di tepi sungai tiba-tiba saya nampak sekujur tubuh, saya fikir dia hanya berdiri sahaja tapi saya terkedu apabila kakinya tergantung dari tanah.

“Sebaik melihat tubuh itu, saya nampak sekumpulan orang datang menghampiri ke arah saya dan memberitahu perkara tersebut telah dilaporkan kepada pihak polis,” katanya kepada Astro AWANI.

Pegawai Tourism Malaysia Perak, Iskandar Aminuddin, 39, pula berkata beliau terdengar kekecohan di kawasan sekitar Riverwalk berdekatan pejabatnya sebelum seorang pemancing menceritakan insiden tersebut.

“Pemancing itu beritahu saya dia sedang memancing di seberang sungai bersama anak kecilnya dan terlihat tubuh manusia tergantung di pokok. Dia rasa curiga dan pergi ke pokok itu.

“Apabila berada di tempat kejadian, pemancing itu nampak seutas tali melilit di leher remaja lelaki berusia dalam awal 20-an.

Dia datang memberitahu saya dan saya menghubungi pihak pengurusan Kinta Riverwalk yang kemudiannya memaklumkan kepada polis,”katanya.

Iskandar memberitahu salah seorang pengunjung di kawasan berkenaan juga memberitahunya bahawa ada ternampak mangsa duduk termenung di kawasan itu awal pagi sebelum kejadian.

“Mangsa dikatakan duduk termenung di atas bangku yang dibawanya sendiri sekitar 10 pagi sebelum dia gunakan bangku itu untuk mengikat tali di dahan pokok dan bunuh diri,” katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian itu sekitar 1.45 tengahari .

Mangsa, Tan Yee Shuen, 20, yang berasal dari Ipoh disahkan meninggal dunia dan dijumpai tergantung dengan tali nylon bersama satu bangku dan sepasang selipar manakala dompet dan jam tangan turut berada pada mangsa.