Jumlah pelajar yang dikesan menghidap penyakit seperti influenza (ILI) di Perak meningkat kepada 512 orang berbanding 465 semalam, demikian menurut kenyataan Jabatan Kesihatan Perak hari ini.

Kenyataan itu menyebut ini susulan kes baharu di dua lagi sekolah iaitu Sekolah Menengah Agama (SMA) Sultan Azlan Shah di Bota yang melibatkan 13 pelajar dan SMA Darul Ridzuan di Tapah dengan 26 pelajar.

Dalam pada itu, dua sekolah mencatatkan peningkatan kes iaitu Sekolah Menengah Raja Perempuan Taayah yang bertambah kepada 230 orang berbanding 226 semalam dan SM Abdul Rahman Talib di Teluk Intan yang merekodkan 87 kes berbanding 83 semalam.

Menurut kenyataan itu bilangan pelajar Sekolah Kebangsaan Klebang Jaya yang dijangkiti kekal tiga orang, Sekolah Tuanku Abdul Rahman (115), Sekolah Izzudin Shah (25) dan Kolej Vokasional Slim River (13).

Daripada jumlah yang dijangkiti, seramai 245 pelajar diisolasi di sekolah masing-masing, tiga diasingkan di wad manakala selebihnya berada di rumah masing-masing.

Sehingga kini, sebanyak empat sampel didapati positif Influenza A (H3) dan sembilan sampel positif Influenza B.

Menurut kenyataan itu siasatan di semua sekolah mendapati semua kes mengalami gejala ringan dan tiada komplikasi serta tiada kes dikuarantin tetapi hanya diasingkan di bilik yang dikhaskan di asrama sekolah.

Jabatan Kesihatan Perak turut mengeluarkan surat kewaspadaan kepada pengamal perubatan di seluruh negeri supaya melaporkan kes baharu walaupun penyakit ini tidak wajib dilaporkan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

-- BERNAMA