Kerajaan dalam usaha membangunkan komuniti pengukir bagi memastikan industri itu tidak lenyap ditelan zaman.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof, kementeriannya sedang bekerja rapat dengan Tekun Nasional bagi mengangkat semula martabat industri tersebut, sepertimana industri kandungan kreatif lain.

“Mengikut data yang kita (kementerian) ada, hanya tinggal kira-kira 400 orang (pengukir) di Malaysia.

“(Nasib industri pengukiran) seperti harimau yang berdepan kepupusan,” katanya ketika berucap merasmikan “Contentpreneur 2020” anjuran Yayasan KRU sempena Minggu Usahawan Nasional (MUN) 2019 di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Ser­dang (MAEPS) di sini, pada Jumaat.

Turut hadir Presiden Lembaga Pemegang Amanah Yayasan KRU, Datuk Norman Abdul Halim dan Pengerusi Filem Nasional, Hans Isaac.

Jelas Mohd Redzuan, langkah sewajarnya sedang diambil kerana pihaknya yakin industri pengukiran mempunyai potensi besar dalam menjana pendapatan negara.

“Jadi, kita mahu membangunkan kembali industri ini dan saya telah pun mengadakan perbincangan, misalnya di Indonesia untuk melatih pengukir-pengukir sama ada di sana atau di negara kita.

“Ini adalah industri yang boleh menjana pendapatan berbilion ringgit,” ujarnya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, beliau mencadangkan satu dana khas perlu ditubuhkan bagi membantu industri kandungan kreatif.

Ujarnya, inisiatif tersebut kini di peringkat perbincangan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya sedar banyak kelemahan yang kita ada. Contohnya, saya sedar betapa susahnya usahawan kreatif mahu mendapatkan dana.

“Ini kerana kita ada pelbagai kaum, bangsa, agama (dan) Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu diikuti, contohnya pematuhan syariah. Saya banyak didatangi usahawan mengatakan mereka susah mendapatkan pinjaman bank (kerana) bila tidak memakai tudung - tidak mematuhi syariah,” jelasnya.

MUN 2019 yang berlangsung selama empat hari bermula 29 Ogos dijangka menjana potensi jualan RM20 juta dan jualan tunai sebanyak RM500,000, selain dijangka menarik kehadiran 10,000 pengunjung.