Polis Diraja Malaysia (PDRM) menahan 330 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 23 individu direman manakala tiga lagi individu dijamin dan 304 individu dikenakan kompaun.

"Kesemua mereka terlibat dalam aktiviti dengan melibatkan kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakan sosial," katanya dalam sidang media di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, sebanyak 63,511 pemeriksaan telah dibuat pasukan Task Force Operasi bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Sebanyak 2,821 pasukan pematuhan yang melibatkan 12,214 anggota telah membuat pemantauan di 3,986 pasar raya, 5,580 restoran serta 1,408 penjaja, 1,142 kilang, 3,639 bank dan 755 pejabat kerajaan.

"Juga dipantau, sebanyak 1,122 terminal pengangkutan darat, 273 terminal pengangkutan air serta 130 terminal pengangkutan udara," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, PDRM turut menahan 11 warganegara asing atas kesalahan Imigresen.