Orang ramai diingatkan agar tidak menggunakan ugutan, kekerasan ataupun bertindak di luar batasan undang-undang jika tidak bersetuju terhadap pihak media yang melaporkan sesuatu berita.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo yang memberikan ingatan itu berkata terdapat cara yang boleh diambil untuk perbetulkan ataupun mengemukakan pandangan berbeza sekiranya mereka tidak bersetuju dengan sesuatu laporan media.

"Tugas wartawan adalah untuk melaporkan fakta supaya maklumat disampaikan kepada masyarakat.

"Saya harap pihak polis akan siasat dan ambil tindakan tegas sekiranya didapati telahpun berlaku sebarang kesalahan," tegasnya di laman Facebook beliau hari ini.

Gobind mengulas laporan berita tentang wartawan penyiaran TV3, Mohd Ishak Abdillah Ngah yang menerima ugutan bunuh berikutan satu laporan dibuatnya Rabu lepas.

Ugutan bunuh itu diterima menerusi laman sosial Facebook setelah tular video pendedahan berkenaan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Wakaf Mempelam di Terengganu yang beroperasi tanpa kemudahan asas elektrik dan bekalan air.

Berikutan itu, laporan polis telah dibuat Mohd Ishak di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu semalam.

-- BERNAMA