Jumlah guru yang sedang berkhidmat di sekolah sudah berada para paras tepu dan mencapai tahap maksimum.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerana itu pihaknya, Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak universiti sedang mencari jalan untuk mengurangkan lambakan graduan pendidikan dalam negara.

"Kita akan lihat beberapa cadangan daripada fakulti pendidikan yang mahu melihat semula dari segi pengambilan pelajar agar dapat mengurangkan bilangan pelajar.

"Bagaimanapun ia bukan keputusan pihak kementerian. Ia akan ditentukan selepas mesyuarat," katanya semasa sidang media selepas Mesyuarat Persediaan Penggal Persekolahan 2016 di sini pada Jumaat.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Pendidikan II, P. Kamalanathan berkata, jumlah guru di negara ini masih berada pada tahap mencukupi dan dijangka terus bertambah pada masa akan datang.

Jelasnya, setakat ini, terdapat 420,000 guru untuk semua peringkat sekolah di seluruh negara selain dapat menampung keperluan pendidikan yang semakin berkembang saban hari.

Dalam pada itu kata Mahdzir, isu utama kini adalah kegagalan graduan daripada Institut Pendidikan Guru (IPG) dan universiti (fakulti pendidikan) di dalam peperiksaan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SSP).

"Ia akan menjadikan mereka tidak disahkan dalam perkhidmatan. Ia sekali gus menyebabkan ramai graduan dari IPG dan fakulti pendidikan gagal peperiksaan dan terjadinya lambakan graduan pendidikan," katanya.