Seorang jurutera warga Romania ditemui pengsan di bilik enjin sebuah kapal dagang di perairan barat Labuan pagi semalam. Dia bagaimanapun meninggal dunia sewaktu dikejarkan ke hospital.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis (ACP) M.Chandra dalam satu sidang media berkata Mevlit Stelian, 36, ditemukan tidak sedarkan diri di lokasi berkenaan oleh kru kapal Syarikat Berge Bulk Maritime PTE Limited yang berdaftar di Singapura kira-kira jam 9.30 pagi Rabu.

Polis bagaimanapun hanya menerima laporan kejadian pada sekitar 3.20 petang.

Mangsa kemudiannya dibawa ke Kota Kinabalu menggunakan bantuan helikopter TUDM namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu.

Kapal tesebut dikatakan dalam perjalanan ke Yu Lian Shekou, China untuk tujuan penyelenggaraan.

Hasil siasatan awal mendapati tiada sebarang kecederaan di tubuh badan mangsa dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Mayat dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses bedah siasat.