Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS), sedang menjalankan Kajian Indeks Belia Negeri Sarawak. Kajian bermula pada Ogos tahun lalu dan dijangka siap Mei depan.

IYRES dalam satu kenyataan memaklumkan, sebanyak 12 domain digunakan untuk mengukur tahap kualiti dan kesejahteraan hidup belia di negeri itu, iaitu Pembangunan Kendiri, Hubungan Sosial, Identiti, Potensi Diri, Kesihatan, Pendidikan, Ekonomi, Keselamatan, Sosialisasi Politik, Ketembusan Media, Waktu Senggang serta Tingkah Laku Devian.

Indeks yang terhasil akan memberi panduan untuk mengenal pasti bidang tumpuan yang memerlukan penambahbaikan bagi memastikan ia memberi impak yang positif terhadap kualiti dan kehidupan belia di Negeri Sarawak.

Seramai 13,870 responden belia dalam lingkungan usia 15 tahun hingga 30 tahun meliputi 12 bahagian dan 31 daerah di seluruh Sarawak akan terbabit dalam kajian itu.

Kajian tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Sarawak.