Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) wajar dibubarkan sekiranya ahli-ahli mereka melangkaui batas kuasa yang dibenarkan sebagai anggota badan penasihat yang tidak diperuntukkan di bawah undang-undang.

Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata tidak wajar untuk ahli dalam Majlis tersebut melaksanakan sesuatu tugas bagi pihak kerajaan.

"Ini kerana akauntabiliti harus diletakkan pada Kabinet, bukan pada badan penasihat.

"Saya beri contoh di mana Ketua Hakim Negara sebelum ini Tun Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan sebelum ini Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin telah diminta untuk mengadap Majlis tersebut.

"Di manakah sumber kuasa Majlis Penasihat Kerajaan? Tiada akta atau rang undang-undang melibatkan mereka. Malah, keputusan untuk penubuhan Majlis dibuat Perdana Menteri sebelum Kabinet bermesyuarat," katanya.

BACA: CEP hanya menasihat, keputusan di tangan kerajaan - Liew

Selain itu, Khairy turut mempersoal kenapa Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainudin ke China untuk berbincang dengan pimpinan negara sebelum lawatan rasmi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Bukankah kita sudah mempunyai Menteri Luar? Menteri tersebut boleh berbincang soal hubungan dua hala dengan China," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Khairy turut membangkitkan soal percanggahan kepentingan dalam kalangan ahli Majlis Penasihat Kerajaan.

"Badan ini sepatutnya menasihat Kerajaan dalam bidang ekonomi tetapi pada masa sama kita lihat Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dilantik sebagai pengerusi dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

"Saya tidak mempersoalkan kewibawaan beliau tetapi bagaimana seorang boleh dilantik sebagai Pengerusi GLC tetapi pada masa sama menasihat kerajaan?" kata Khairy.

Zeti telah dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Pemodalan Nasional Berhad (PNB) dan terbaru dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Property Berhad pada Isnin.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong berkata, kerajaan tidak terikat dengan sebarang nasihat atau pandangan yang dikemukakan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP).

Tegas beliau, fungsi CEP hanya menasihati dan memberi pandangan kepada kerajaan, dan kerajaan tidak semestinya terikat dengan laporan yang diberikan pihak ini.