Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling bersama beberapa agensi penguatkuasaan lain akan memperketatkan kawalan di sempadan daerah terbabit yang merupakan laluan utama kemasukan kenderaan dari utara Perak dan Pantai Timur ke negeri itu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Supritenden Mohd Sauti Harun, pelaksanaan terbabit sebagai salah satu langkah mengawal kemasukan kenderaan yang tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa dan aktiviti rentas negeri terutama menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Beliau berkata, proses pemantauan dan pemeriksaan kenderaan melalui sekatan-sekatan jalan raya akan dilaksanakan seperti biasa meskipun penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan bermula pada Isnin.

Tambah Mohd Sauti, sebarang perubahan sistem atau proses pemeriksaan hanya akan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), dan pihaknya akan mengikuti segala arahan yang diberikan.

"Pematauan kita (di Baling) seperti biasa, kita bersedia apa yang dimaklumkan oleh kementerian terutama sekali yang memberi kebenaran kepada dua (individu) samada isteri atau suami, jadi kita masih lagi perketatkanlah serta dari yang luar ke kawasan Baling," kata beliau kepada Astro AWANI.

Dalam perkembangan sama, Mohd Sauti turut menjangkakan bilangan kenderaan yang akan masuk ke negeri itu melalui sempadan daerah Baling akan meningkat terutama pada pertengahan bulan Ramadan.

Beliau turut berharap orang ramai dapat mematuhi arahan yang diberikan pihak berkuasa, selain sentiasa mengamalkan penjagaan kesihatan terutama melalui penjarakan sosial.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sebahagian lokasi sekatan jalan raya di seluruh negara akan diatur semula ke lokasi lebih strategik susulan PKPB yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Abdul Hamid berkata, pasukan pemantau akan ditambah bagi memastikan orang ramai mematuhi jarakan sosial sepanjang tempoh terbabit.

Pada Jumaat, Muhyiddin dalam perutusan khas sempena Hari Pekerja berkata sebahagian besar aktiviti ekonomi dan sosial dibenarkan beroperasi mulai 4 Mei tertakluk kepada syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.