BERNARD Mandeville, ahli komentar ekonomi Perancis pada abad ke-18 dengan sinisnya berkata: “Manusia itu bukankah secara fitrahnya takkan bekerja dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh tanpa banyak bertanya dan meminta-minta gaji tinggi, jika mereka itu tidak miskin dan tidak tahu apa-apa? Untuk masyarakat kekal harmonis, perlu ada segelintir yang kekal dangkal dan kekal miskin.”

Mandeville sebenarnya menempelak dan menghina masyarakat yang ketika itu selesa dengan kewujudan hierarki dan jurang kelas ekonomi yang jelas, malah dianggap perlu demi memastikan kestabilan masyarakat dan status quo.

Kerja amal dan Kebajikan hanya gimik golongan paderi dan bangsawan untuk mengekalkan kedudukan mereka pada status tinggi dalam masyarakat.

Beliau menyimpulkan menerusi paradoks agungnya, “kepentingan diri akan membawa kepada manfaat bersama”.

Hal ini disokong oleh Adam Smith kira-kira setengah abad kemudian; di mana jika semua orang memaksimakan kepentingan diri, akan terhasil galakan peribadi dalam diri masing-masing untuk bekerja keras yang secara kolektifnya membentuk suatu kerjasama ghaib untuk menghasilkan pulangan ekonomi yang lebih besar.

Benarkah pengagihan sumber ekonomi yang terbaik hanya akan berlaku melalui pasaran bebas di mana semua orang dalam ekonomi terbabit bergerak secara bersendirian?

Apakah sebenarnya jawapan kepada persoalan-persoalan ekonomi kita? Mungkin di sini kita wajar melihat kembali sejarah pembentukan ekonomi-ekonomi gergasi dunia.

Bagaimanakah Eropah Barat, Amerika dan Jepun boleh melonjak menjadi negara-negara termaju dunia?

Pada 1820, pendapatan purata di Eropah Barat hanya kira-kira 90% pendapatan purata di Afrika hari ini.

Jurang pendapatan antara negara-negara kini tidak wujud sama sekali sebelum kurun ke-19. Semua bermula pada titik yang sama.

Penduduk dunia sejak azali hanya mencecah 15 juta pada 5,000 tahun lalu. Kita mengecapi tanda aras billion pertama pada 1804, dan bilion kedua pada 1927.

Pada kurun ke 19 dan 20, dunia menyaksikan pembangunan pesat manusia dan ekonomi di Eropah dan Amerika Utara.

Kadar kemiskinan jatuh menjunam. Sejak itu, penduduk dunia berkembang mencecah tiga bilion dalam masa kurang daripada 40 tahun pada 1960, dan telah pun mencecah tujuh bilion pada 2012.

Perkhidmatan kesihatan, asas tani, teknologi pemakanan dan pembuatan serta perubahan mode of production telah membawa kepada Revolusi Perindustrian terutamanya di Britain, kerana kebolehannya menyediakan struktur asas yang membenarkan pembangunan ekonomi moden, seperti reformasi ke atas struktur-struktur feudal masyarakat yang mengongkong, serta perubahan kepada kedudukan sistem kekeluargaan, jantina dan mobiliti sosial.

Buat pertama kalinya dalam sejarah, seorang manusia mampu mengeluarkan makanan untuk beribu-ribu orang lain.

Pertumbuhan dan teknologi tersebar kepada rantau-rantau lain seperti Amerika, melalui emigrasi manusia daripada Eropah ke sana, dan Jepun yang sedang melalui pemulihan Meiji.

Pada masa yang sama jurang dan ketidaksamarataan antara rantau-rantau dunia mula timbul.

Pembangunan ekonomi moden tidak dirasai oleh banyak negara lain; lantas wujudlah istilah-istilah yang membeza-bezakan mereka seperti “barat” dan “timur”, “timur tengah”, “dunia ketiga” dan “dunia pertama”.

Kemunduran dan kemiskinan bukan lagi hanya sesuatu proses yang akan berlalu setelah kita mencapai kemajuan secara semulajadi.

Kemiskinan perlu diberikan perhatian dan diperangi, kerana ekonomi-ekonomi gergasi dunia tadi, sengaja atau tidak, akan memacu terus pada kadar mereka masing-masing dan meninggalkan yang miskin di belakang.

Sikap menjaga kepentingan ekonomi masing-masing menimbulkan jurang yang begitu ketara.

Justeru, teori-teori falsafah ekonomi yang sebelumnya dahulunya cuba diketengahkan oleh tokoh-tokoh seperti Smith dan Marx, mula terbit semula dengan hujah dan model masing masing demi mencari penyelesaian kepada permasalahan ekonomi manusia.

Jeffrey Sachs dalam makalahnya End of Poverty (2005) melihat usaha menghapuskan kemiskinan tegar pada tahun 2025 seperti yang diwarwarkan oleh PBB menerusi Millenium Development Goals boleh menjadi kenyataan, jika saluran bantuan pembangunan benar-benar diatur dan dilaksanakan.

Beliau mencadangkan dengan tempat tidur kalis wabak Malaria, pembatalan hutang negara-negara miskin daripada negara-negara kaya, dan dana mencukupi untuk program klinikal di negara-negara dunia ke-3, dunia boleh bebas daripada cengkaman kemiskinan tegar.

Bank Dunia mendefinisikan kemiskinan tegar sebagai isi rumah yang tinggal dengan pendapatan kurang daripada Dolar Amerika 1.25, pada pariti kuasa belian.

Sachs menginjak sedikit ke hadapan dengan mendefiniskan kemiskinan tegar sebagai mereka yang langsung tidak berdaya keluar daripada kepompong kitaran kemisikinan; iaitu mereka yang tidak mampu melangkah ke atas tapak pertama tingkat pembangunan sekalipun tanpa bantuan.

Oleh itu, di manakah kita boleh benar-benar membezakan di antara kepentingan memaksimakan kepentingan diri dengan kepentingan bantu-membantu dan Kebajikan demi mencapai tujuan kemakmuran ekonomi yang sama?

Memahami Konsep Negara Kebajikan

Negara Kebajikan melihat institusi Kerajaannya memainkan peranan yang besar dalam menyediakan barangan dan perkhidmatan kepada rakyatnya dengan tujuan memastikan kesejahteraan rakyat.

Misinya untuk mengurangkan kepincangan kedudukan ekonomi mereka apabila nasib mereka dibiar untuk ditentukan oleh keadaan dan pasaran bebas. Konsepnya berteraskan tema-tema normative seperti “hak”, “keperluan”, “kesamarataan” dan “keadilan”.

Malah dalam tujuan kehidupan yang tersusun baik di sudut Islam, pandangan alam Islam turut meletakkan kepentingan memenuhi keperluan asas untuk semua manusia sebagai keutamaan.

Dalam Role of State in the Economy, Nejatollah Siddiqui mencadangkan beban memenuhi keperluan asas itu diletakkan di atas bahu Islam itu sendiri; di mana ianya ialah Fardh Kifayah.

Garfinkel dan Smeeding di Universiti Columbia pada 2010 menemukan bahawa negara-negara kaya kebanyakannya sebenarnya Negara Kebajikan; iaitu “negara kapitalis yang mempunyai dos-dos sosialisme secara terpilih”.

Model Kebajikan boleh mengambil bentuk pemberian secara langsung (pindahan), ataupun penyediaan perkhidmatan percuma seperti pendidikan dan kesihatan.

Pindahan langsung adalah seperti wang tunai, kupon, bantuan cacat dan pengangguran yang tiada di Malaysia, bantuan keluarga dan kemiskinan.

Secara statistiknya, Negara Kebajikan dapat didefinisikan sebagai negara yang memperuntukkan sekurang-kurangnya 20% untuk pindahan sosial seperti negara-negara Nordik, Austria dan Belanda.

Secara perbandingan, negara-negara seperti Amerika Syarikat dan negara dunia ketiga kurang berbelanja untuk jaringan keselamatan sosial dan pembangunan modal insan.

Malaysia membelanjakan hanya 4.1% untuk pendidikan dan 4.4% untuk kesihatan, daripada KDNK, lantas meletakkannya pada kedudukan ke-101 dalam pendidikan dan ke-156 dalam kesihatan di dunia.

Tidak kebetulanlah kita turut mengalami antara jurang pendapatan tertinggi di Asia.

Melihat kepada contoh negara Nordik, pindahan sosial yang tinggi memperlihatkan kurangnya kejadian kemiskinan, ketidaksamarataan dan jangka hayat purata yang tinggi tanpa kesan terhadap kos bersih daripada sudut KDNK, pertumbuhan ekonomi dan defisit belanjawan.

Namun, menurut pakar model Kebajikan Peter H. Lindert, beban pembuktian ini sebenarnya terletak di atas bahu mereka yang mencadangkan bahawa negara Kebajikan itu menyekat pertumbuhan dan ekonomi.

Para antagonis perlu menerangkan fenomena di mana Negara Kebajikan besar menyaksikan kadar pertumbuhan ekonomi yang lebih tinggi.

Malaysia Tidak Akan Dimufliskan oleh Kebajikan

Sukar untuk kita menyantuni perbincangan negara Kebajikan ini tanpa memetik contoh Skandinavia. Mereka dianggap mahir dalam mentadbir negara-negara Kebajikan yang hebat, tetapi dengan membuli rakyat mereka dengan beban cukai pendapatan yang tinggi. Realitinya tidaklah sebegitu mengecewakan.

Pada tahun 1980-an, syarikat-syarikat dan sektor hartanah jarang sekali membayar kadar cukai berkanun yang tertinggi kerana potongan kelepasan dan kelowongan dalam sistem percukaian.

Malah pada tahun 1990-an, Sweden dan beberapa negara Eropah lain telah meringkaskan sistem percukaiannya sehinggakan kadar cukai secara efektifnya menjadi lebih rendah.

Pengalaman negara-negara OECD juga tidak memperlihatkan sebarang kesan negatif secara ekonometriknya terhadap GDP, yang diakibatkan oleh kadar cukai yang tinggi untuk tujuan program Kebajikan.

Sebenarnya rokok dan alkohol yang dicukai tinggi, kerana dianggap demerit, iaitu produk yang penggunaannya menatijahkan kos yang lebih tinggi kepada masyarakat lebih daripada si pembelinya.

Kepenggunaan juga secara lazimnya dicukai melalui VAT (seperti GST); lebih tinggi kuasa pembelian seseorang pengguna itu, lebih tinggi cukai yang patut dibayarnya. Model Kebajikan Nordik turut mencukai golongan berpendapatan rendah.

Di Malaysia, pekerja bergaji bawah RM3,000 langsung tidak membayar cukai, tetapi di negara-negara Nordik seorang tukang cuci pun dicukai.

Sekilas pandang. memang bunyinya seolah-olah kejam tetapi bekalan tenaga buruh kurang sensitif berbanding bekalan dana ataupun penggunaan.

Maksudnya, kebarangkalian seorang pekerja berhenti kerja kerana cukai, lebih rendah berbanding kebarangkalian seorang pengguna untuk kurang membeli ataupun seorang pelabur untuk kurang melabur.

Apabila semua orang membayar cukai pendapatan, sekurang-kurangnya mereka yang menyokong dan menikmati program Kebajikan turut menyumbang kepadanya.

Negara Kebajikan Bukan Penghalang Tetapi Pemangkin Kemajuan

Kita tidak sepatutnya lagi melihat Negara Kebajikan sebagai usaha populis, langkah kasihan, ataupun sesuatu yang patut disyukurkan kepada Kerajaan, kerana ianya sendiri merupakan suatu program ekonomi yang sah dengan meritnya tersendiri dan kebolehannya memangkin pertumbuhan.

Keynes menerangkan bahawa program Kebajikan bukanlah bantuan untuk golongan miskin semata-mata; malah merupakan sebahagian daripada pakej instrumen polisi untuk memastikan ekonomi pasaran bebas bergerak dengan baik dan mengelakkan kesan kemerosotan ekonomi.

Program Kebajikan turut merangsang permintaan dan pertumbuhan ekonomi ketika pelaburan dan perbelanjaan swasta terjejas.

Penemuan Universiti Columbia itu menunjukkan bahawa belanjawan Kebajikan yang besar memperkayakan negara dan tidaklah memufliskannya.

Pertamanya, semua negara moden kaya mempunyai peruntukan Kebajikan yang besar.

Keduanya, pertumbuhan ekonomi negara-negara lebih tinggi ketika peruntukan Kebajikan lebih besar, berbanding julat waktu sebelumnya.

Ketiga, mereka menemukan bukti kukuh bahawa pendidikan dan kesihatan awam membawa kepada pendapatan yang besar dalam bentuk produktiviti dan kemakmuran ekonomi.

Kajian tersebut menggariskan corak pertumbuhan negara-negara dalam masa 125 tahun dan menemui korelasi tingi antara perbelanjaan sosial dan kadar pertumbuhan dan menemui bahawa kadar pertumbuhan lebih tinggi dalam julat masa yang dikaitkan dengan perbelanjaan Kebajikan yang lebih tinggi.

Bagaimana? Pertamanya, negara Kebajikan itu lebih inklusif; ianya menggerakkan semua orang termasuklah rakyatnya yang lemah kedudukan ekonomi dengan memastikan mereka turut diletakkan di atas tangga pembangunan.

Jika program Kebajikan dibiayai oleh cukai, perbelanjaan sosial didedahkan dapat menghasilkan kesan bersih yang positif terhadap KDNK kerana ketirisan keluar daripada ekonomi melalui cukai disuntik kembali kepada kegunaan-kegunaan yang lebih produktif secara sasaran.

Denison, Barro, Lucas, Hicks dan ramai penyokong negara Kebajikan bersetuju bahawa terdapat begitu banyak bukti bahawa pendidikan awam menggalakkan pertumbuhan, dan program pindahan sosial meningkatkan KDNK per kapita.

Kerana keengganannya membiayai sistem kesihatan, Amerika Syarikat corot di kedudukan 19 dari segi jangka hayat di kalangan 20 negara-negara kaya.

Finland pula dinobatkan negara kedua paling bahagia di dunia, dengan kadar kematian bayi yang rendah, markah yang lebih baik di kalangan anak-anak bersekolah, dan kadar kemiskinan jauh lebih rendah berbanding Amerika Syarikat, yang tidak mencapai kedudukan 10 tertinggi sekalipun.

Kajian juga menemui lebih kaya sesebuah negara, lebih tinggi komposisi pindahan Kebajikan dalam pendapatan rakyatnya seperti di Eropah dan Australia, kerana reka bentuk sistem percukaian di negara-negara terbabit lebih pro-pertumbuhan daripada negara-negara yang kurang Kebajikan.

Mereka turut mempunyai sistem kesihatan yang efisien, bantuan penjagaan kanak-kanak, pembangunan kerjaya wanita dan ciri lain yang mengurangkan kesan negatif terhadap insentif para penerima pindahan sosial itu.

Pindahan mempunyai kesan yang langsung terhadap pertumbuhan ekonomi melalui penghasilan permintaan kepenggunaan.

Begitu juga dengan penyediaan pendidikan secara percuma ke peringkat tinggi yang melahirkan golongan yang mampu bekerja dan meningkatkan kuasa pembelian mereka.

Malang sekali kita melihat pindahan BR1M yang berpandangan singkat dan terlalu sedikit untuk memberikan kesan. Kita juga mendengar rakyat Malaysia yang terpaksa menolak tawaran universiti kerana tidak mampu membayar yuran (itupan telah disubsidikan).

Inilah antara sebabnya Malaysia sangat memerlukan kepada pelan Negara Kebajikan yang serius. Apabila digubal dengan taktikal dan sesuai, kita dapat mula memastikan semua orang mampu untuk mengecapi taraf hidup dengan selesa.

Model Negara Kebajikan Tidak Akan Melahirkan Orang Malas

Selain daripada dakwaan program Kebajikan memufliskan negara dan meranapkan pertumbuhan, pembangkang-pembangkangnya turut khuatir dengan kesan negatif model Kebajikan yang dibiayai cukai itu terhadap insentif.

Program Kebajikan dikatakan boleh menyebabkan rakyat menjadi malas. Saya merasakan sebaliknya. Kita mungkin menjadi malas jika bertuah mewarisi akaun dan estet daripada datuk kita, bukannya dengan mendapat pendidikan dan perkhidmatan kesihatan secara percuma.

Dengan 77% daripada tenaga buruh terdiri daripada golongan berkelulusan SPM atau lebih rendah sahaja, pertumbuhan kadar gaji dan elaun yang perlahan akibat kekurangan kemahiran dan kelayakan, kadar pengangguran graduan yang lebih tinggi daripada kadar pengangguran keseluruhannya, serta kadar pengambilan insurans yang rendah untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan berkualiti, kita melihat rakyat Malaysia tidak begitu jauh daripada golongan yang tidak berdaya seperti yang dikatakan oleh Jeffrey Sachs.

Memanglah mereka tidak berada di ambang kematian dek serangan Malaria, tetapi ketidak berdayaan mereka, berbanding rakyat Malaysia lain yang lebih menikmati bersama kemajuan Malaysia, boleh dianggap serupa.

Siddiqui mencadangkan bahawa kadar keperluan asas seseorang yang perlu untuk dipenuhi bergantung kepada taraf kehidupan purata masyarakat sekelilingnya secara amnya.

Keperluan-keperluan ini termasuklah makanan, tempat berteduh, penjagaan kesihatan dan pendidikan.

Di negara-negara yang lebih kaya, perkara-perkara seperti pengangkutan, penjagaan dan perawatan juga sepatutnya disertakan.

Dalam kes Malaysia, program Kebajikan yang lebih besar dalam bidang pendidikan dan kesihatan misalnya, akan dapat membantu meningkatan taraf hidup dan kuasa pembelian golongan kelas pertengahan bawahan yang benar-benar tertinggal di belakang lekuk pembangunan.

Mungkin mereka ini secara statistiknya tidak keluar dalam senarai “miskin”, tetapi kebolehan mereka meningkatkan status ekonomi lebih tinggi daripada ibu bapa mereka menjadi semakin sukar.

Bagi golongan yang betul-betul berada di atas sedikit daripada golongan miskin ini, perjalanan mobiliti sosial mereka semakin kabur.

Program-program Kebajikan yang disasarkan khusus untuk golongan ini sangat perlu untuk membolehkan mereka bermula kembali di atas tangga pembangunan mandiri.

Negara Kebajikan Bagi Negara Yang Kaya Seperti Malaysia

Paling menarik sekali, hujah yang menyokong kepada peri perlunya program Kebajikan di Malaysia ialah hakikat bahawa sebahagian besar pendapatan Kerajaan juga terdiri daripada sumber-sumber bukan cukai pendapatan.

Cukai tidak langsung seperti duti eksais dan cukai jualan, serta sumber-sumber bukan cukai seperti pendapatan pelaburan, pengeluaran lesen dan permit turut menyumbang sebanyak cukai pendapatan.

Daripada cukai pendapatan langsung, cukai pendapatan peribadi paling hanya menyumbang 11.4% di mana yang selebihnya terdiri daripada cukai petroleum dan syarikat.

Ada dua implikasi di sini. Pertama, jika nisbah sumber pendapatan ini dimalarkan, program Kebajikan yang disarankan ini tidak bermakna kita perlu membayar lebih cukai sekalipun.

Kedua, Terdapat banyak lagi program Kebajikan yang boleh menyumbang kepada pembangunan, pendidikan dan kemajuan golongan yang secara ekonominya kurang berupaya ini tanpa semestinya menyebabkan mereka mula malas, leka dan menjadi terlalu bergantung.

Malah, kebergantungan dilihat lebih jelas di kalangan golongan atasan terpilih yang telah lama menikmati layanan terpilih daripada Kerajaan, berbanding mereka yang benar-benar memerlukannya.

Kita melihat BR1M menjadi kebanggaan kerana jumlah isi rumah yang banyak yang diliputinya. Pada masa yang sama, kita teringatkan kata-kata hikmat, “kita mengukur kejayaan Kebajikan ialah dengan berapa ramai yang tidak memerlukannya, dan bukan berapa ramai yang layak menerimanya.”

Bukan Sekadar Kebajikan, Tetapi Kebajikan Yang Taktikal

Tesis saya ialah Negara Kebajikan jika dirancang dengan baik seperti yang diperlihatkan oleh kejayaan negara-negara sosial demokrat, akan lebih inklusif bagi semua rakyat.

Dengan keadaan Malaysia, inilah cara yang terbaik untuk menggalakkan produktiviti dalam suasana tekanan peningkatan gaji dan kemahiran.

Tuduhan bahawa Kebajikan menyebabkan orang malas seperti yang berlaku di Britain dapat disangkal oleh kejayaan model Nordik yang lebih dilihat berjaya

Namun kita tidak lupa bahawa kita perlu menyesuaikan program Kebajikan ini dengan penelitian terhadap data, sejarah dan pengalaman realiti Malaysia dan bukannya meniru secara membuta tuli model-model negara Kebajikan dunia yang dilihat berjaya.

Program Kebajikan yang lebih besar bukannya bermaksud kita mengganggu gugat sektor-sektor di mana pasaran bebas berjalan dengan baik seperti perdagangan antarabangsa.

Dengan saiz kita yang kecil dan kebergantungan kita pada skala global, kita perlu menelusuri jalan negara yang lebih Kebajikan untuk meningkatkan potensi Malaysia secara keseluruhannya.

Kita bermimpi akan sebuah dunia di mana jurang-jurang yang begitu besar antara yang kaya dan yang miskin tidak lagi wujud, di mana golongan-golongan yang tidak berdaya boleh mula berusaha untuk memajukan diri masing-masing.

Dunia itu melihat penglibatan Kerajaan adalah seperti yang diuar-uarkan dalam penulisan ini.

Dalam dunia itu, Kerajaan melaksanakan tanggungjawab memulihkan jurang dan kepincangan dalam ekonomi yang terhasil oleh pasaran bebas atau keputusan ekonomi yang diambil oleh sektor swasta berasaskan kepentingan keuntungan masing-masing dengan memfokuskan semula sumber-sumber ekonomi kepada sektor produktif yang kurang dilaburkan atau kumpulan sasaran yang lebih memerlukan.

Tujuan murni Kebajikan tidak lain tidak bukan hanyalah untuk memastikan Malaysia dapat mengecapi potensi terbaiknya tanpa meninggalkan sesiapa pun di belakang.

Kuasa itu hanya satu tanggungjawabnya iaitu untuk memastikan Kebajikan sosial rakyatnya” – Benjamin Disraeli




Anas Alam Faizli memegang ijazah kedoktoran dalam Pentadbiran Perniagaan. Beliau adalah seorang professional bidang pembinaan dan minyak & gas, seorang warganegara Malaysia yang prihatin dan adalah pengarang Rich Malaysia, Poor Malaysians dan bertweet di @aafaizli

Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.