Sepasang kembar yang menderita penyakit saraf sejak 10 tahun lepas, pada Selasa mendapat manfaat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) apabila menerima faedah pencen ilat daripada agensi itu.

Ibu mereka, Aizah Mustapha, 48, berkata Rafi'uddin Anwar Rosli dan Rafi'uddin Aysraf, 25, yang turut mengalami masalah percakapan, mengalami penyakit itu sejak berumur 15 tahun.

"Selepas mereka tamat bersekolah dan sempat bekerja, kesihatan anak sulung dan kedua itu semakin merosot. Mereka tidak dapat berjalan untuk tempoh lama dan perlu mengesot untuk menguruskan diri seperti mandi dan ke tandas.

"Saya memerlukan banyak duit bagi menyediakan keperluan mereka. Sehubungan itu, saya bersyukur kerana kedua-dua anak layak menerima pencen selain menerima kerusi roda serta lampin pakai buang daripada Perkeso," katanya yang ditemui pemberita pada majlis penyerahan bantuan berkenaan daripada Perkeso di kediamannya di Flat Sri Lanang, di sini pada Selasa.

Penyerahan dilakukan Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuan dan turut dihadiri Anggota Parlimen Tebrau, Steven Choong.

Aizah yang kematian suami sejak empat tahun lepas berkata, selain kedua-dua kembar itu, dia juga menanggung tiga anak lain.

Dia kini hanya bergantung kepada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM250 sebulan dan faedah pencen penakat arwah suaminya berjumlah RM739 sebulan.

Sementara itu, Tong berkata kedua-dua kembar itu layak menerima faedah pencen ilat setelah Perkeso menerima permohonan daripada mereka Disember lepas.

Beliau berkata Rafi'uddin Anwar pernah mencarum Perkeso semasa bekerja di kedai serbaneka 7 Eleven selama empat tahun, selepas tamat persekolahan, manakala Rafi'uddin Asyraf di sebuah stesen minyak selama tiga tahun.

Katanya Rafi'uddin Anwar layak menerima pencen ilat sebanyak RM650 sebulan manakala Rafi'uddin Asyraf sebanyak RM475 sebulan.

-- BERNAMA