Kerajaan telah berjanji untuk menandatangani baki enam Konvensyen Hak Asasi Manusia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Timbalan Menteri Luar, Datuk Marzuki Yahya berkata usaha sedang giat dijalankan oleh jawatankuasa-jawatankuasa teknikal untuk merealisasikan sasaran kerajaan.

“Seperti mana yang telah dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan, pihak Kerajaan akan terus mengambil inisiatif yang proaktif untuk mengkaji ratifikasi kesemua konvensyen hak asasi manusia antarabangsa.

“Perbincangan berterusan secara berkala diadakan bukan sahaja dengan pelbagai agensi Kerajaan, tetapi juga dengan masyarakat madani serta badan-badan bukan Kerajaan seperti Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan Dalam Proses UPR (COMANGO), dan Gabungan Organisasi Masyarakat Sivil Dalam Proses Semakan Sejagat (MACSA),” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Chang Lih Kang (PH - Tanjong Malim) sama ada Kerajaan baru Pakatan Harapan bersedia untuk menandatangani Konvensyen-konvensyen Hak Asasi Manusia PBB.

Bagaimanapun kata beliau, tiada sebarang tempoh ditetapkan untuk meratifikasikan konvensyen-konvensyen tersebut.

Langkah yang dibuat ketika ini termasuk menubuhkan enam Jawatankuasa Kecil Teknikal seperti yang diterajui Kementerian Dalam Negeri bagi mengadakan bengkel membincangkan Konvensyen mengenai Penyeksaan (Convention against Torture and Other Cruel, Inhuman or Degrading Treatment or Punishment – CAT) dan Konvensyen Antarabangsa Untuk Perlindungan Semua Orang Dari Kehilangan Yang Dipaksa (International Convention for the Protection of All Persons from Enforced Disappearance – ICPED) dalam jangka masa terdekat.