Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengenakan cukai eksais ke atas rokok elektronik termasuk vape bagi menghalang ia daripada menjadi budaya dalam kalangan rakyat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata pihaknya sedang mengkaji untuk mengenakan duti tersebut memandangkan perisa rokok elektronik mengandungi nikotin yang merupakan bahan terkawal.

"Kalau rokok elektrik yang mempunyai nikotin, kita mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk memberi layanan kepada rokok elektronik sama macam rokok, bermakna kalau rokok dikenakan duti eksais, rokok elektronik juga kena duti eksais tapi itu kita sedang kaji dari segi undang-undang.

"Nikotin adalah barang kawalan di bawah Akta Racun dan sesiapa yang menjual nikotin mestilah memohon permit daripada Bahagian Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia. Jika tiada permit bermakna mereka telah melakukan kesalahan dan kami boleh ambil tindakan," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Subramaniam berkata perkara itu bagi menghalang budaya vape daripada menggantikan budaya menghisap rokok selepas kementerian berperang berpuluh tahun untuk menangani isu tembakau.

"Dalam masa hanya setahun, pengguna rokok elektronik dan vape telah meningkat dengan ketara. Kini terdapat lebih satu juta pengguna dan ini satu perkembangan yang membimbangkan," katanya memetik video yang viral di media sosial yang menunjukkan seorang bapa menawarkan rokok elektronik kepada kanak-kanak berusia tiga tahun, sebagai contoh.

BACA: Rokok elektronik mengandungi nikotin akan diambil tindakan - KKM

BACA: 'Rokok dah cukup teruk, jangan burukkan dengan vape' - Pakar Kesihatan Awam

BACA: Penggunaan vape tidak diharamkan - Ismail Sabri

Subramaniam berkata, kementeriannya bertanggungjawab untuk menghantar mesej tegas bahawa rokok elektronik boleh membawa kesan buruk dalam jangka panjang ke atas kesihatan.

"Mesej kami adalah mudah.. kami mahu menghentikan rakyat Malaysia dari vaping sama ada terdapat larangan atau tidak," katanya.

Subramaniam pada minggu lalu berkata kementerian sedang mengkaji undang-undang untuk melaksanakan larangan menyeluruh terhadap e-rokok sambil menambah bahawa larangan itu adalah matlamat jangka panjang kementerian untuk mengelakkan masalah kesihatan utama.