Kerajaan negeri Sabah akan meneliti perubahan terhadap beberapa dasar negeri untuk manfaat rakyat di negeri ini, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada Sabtu.

Menurutnya, antara perubahan dasar itu termasuk pengeluar lesen menangkap ikan di laut dalam di peringkat kerajaan negeri.

"Selama ini, kerajaan pusat yang mengeluarkan lesen menangkap ikan di laut dalam, namun kerajaan negeri akan meneliti agar kuasa pengeluaran lesen itu dibuat oleh kerajaan negeri," katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Luar Biasa UPKO 2018 di sini.

Mohd Shafie berkata kerajaan negeri, yang diterajui Parti Warisan Sabah bersama Pakatan Harapan serta UPKO, akan memastikan konsistensi dalam berkhidmat kepada rakyat, termasuk menunaikan janji manifesto pilihan raya mereka.

"Kalau kita (kerajaan negeri) gagal tunaikan janji, kita akan ditolak (oleh rakyat) pada pilihan raya umum akan datang," katanya.

Mohd Shafie, yang juga Warisan, turut menjelaskan bahawa kerajaan baharu itu tidak akan mengabaikan kebajikan agama lain di negeri ini, selain memperjuangkan Islam.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, yang juga Pemangku Presiden UPKO, berkata persidangan meluluskan tiga usul sempena persidangan berkenaan iaitu menyokong keputusan Majlis Tertinggi untuk menangguhkan Mesyuarat Agung Tritahunan Cawangan dan Bahagian serta persidangan perwakilan tritahunan, tidak melebihi enam bulan daripada 21 April lepas.

"Menyokong dan mengiktiraf keputusan Majlis Tertinggi UPKO untuk keluar daripada gagasan Barisan Nasional (BN); dan tindakan parti menubuhkan kerajaan campuran bersama WARISAN, DAP dan PKR bagi meneruskan perjuangan parti serta meluluskan usul pindaan perlembagaan parti," katanya.

-- BERNAMA