Seorang maut manakala dua yang lain cedera parah selepas kereta yang dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas Rapid Penang dalam kemalangan berhampiran pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dekat Jalan Telok Air Tawar, di sini pagi tadi.

Kejadian yang berlaku kira- kira jam 9.30 pagi itu dipercayai berlaku selepas kereta Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki berusia 20 tahun yang dalam perjalanan dari Kepala Batas ke Butterworth dikatakan cuba memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum berlaku pelanggaran dengan bas terbabit.

Pemandu bas berusia 46 tahun gagal mengelak sebuah kereta yang secara tiba-tiba berada di hadapannya dan mengakibatkan berlakunya pertembungan. - Foto JBPM
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Azmi Adam, ketika dihubungi berkata pemandu bas berusia 46 tahun itu gagal mengelak sebuah kereta yang secara tiba-tiba berada di hadapannya dan mengakibatkan berlakunya pertembungan.

Menurutnya, terdapat tiga individu di dalam kereta berkenaan dan mangsa yang maut dikenali sebagai Syumul Yasier Ikhwan Abd Hisham, 21.

Mangsa yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Dua lagi mangsa dilaporkan patah kaki kanan dan cedera di bahagian muka.

Mangsa yang berada di tempat duduk belakang maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. - Foto JBPM
Manakala pemandu bas pula tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mangsa yang maut dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.