Blok pembangkang di negeri ini yakin keputusan mahkamah berkenaan kes Tan Sri Musa Aman yang memfailkan saman bersama afidavit terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal pada 26 Oktober hadapan nanti akan berpihak kepada mereka.

Presiden Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Jeffrey Kitingan berkata, meskipun yakin, beliau turut meluahkan kebimbangan sekiranya wujud 'tangan-tangan ghaib' dari sistem kehakiman negara yang mampu mempengaruhi keputusan kes terbabit.

Beliau berkata, sebagai persediaan, pihaknya dijangka akan membuat beberapa pengumuman nanti berhubung perkara itu bermula pada 17 Oktober hadapan.

Bagaimanapun, Jeffrey selaku Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah itu tidak memperincikan apakah pengumuman berkenaan.

"Saya percaya dia akan menjadi titik tolak kepada kerajaan negeri sebab keputusan ini kalau tidak ada campurtangan ghaib daripada mana-mana dan berasaskan kepada pelembagaan serta undang-undang, saya percaya Musa (Tan Sri) akan diisytiharkan sebagai Ketua Menteri yang sah.

"Kita akan buat beberapa pengumuman nanti, satu pada 17 haribulan dan kemudiannya pada 24 haribulan tetapi di antara hari-hari yang berikut, setiap hari kita akan mengambil tindakan sebagai persediaan mental dan fizikal," katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditemui dalam Program Penjelasan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) di Kimanis, Papar, hari ini.

Terdahulu, pada Jun lalu, Musa memfailkan saman bersama afidavit terhadap kepada Tun Juhar dan Mohd Shafie.

Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu kemudiannya menolak permohonan Ketua Menteri, Mohd Shafie bagi membatalkan saman berkenaan dan menetapkan 26 Oktober hadapan sebagai tarikh kes sebutan semula.

Kes saman itu adalah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau kekal sebagai Ketua Menteri Sabah yang sah mengikut undang-undang sedia ada.

Dalam pada itu, ia bagi menyangkal angkat sumpah Mohd Shafie sebagai Ketua Menteri di hadapan Tun Juhar pada 12 Mei lalu yang didakwa tidak mengikuti perlembagaan dan tidak sah mengikut undang-undang.

Selain itu mendakwa angkat sumpah Mohd. Shafie sebagai Ketua Menteri Sabah dihadapan Tun Juhar pada 12 Mei lalu adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah.

Sebelum ini, pada 10 Mei lalu, Musa telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri di depan Juhar, namun dua hari selepas itu, giliran Mohd Shafie pula dilantik selepas lima wakil rakyat Barisan Nasional (BN) mengumumkan keluar parti.