Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengakui berlaku kesesakan pendaftaran bagi memuat turun aplikasi MySejahtera susulan pengumuman kredit RM50 e-dompet pengguna yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia berikutan kira-kira 700,000 akses masuk aplikasi dikesan hanya dalam masa seminit.

"Susulan pengumuman kerajaan mengenai kredit RM50 ke akaun e-dompet pengguna setelah mereka muatnaik MySejahtera, memang pendaftaran sesak. Didapati 700,000 pendaftaran dibuat serentak dan singkat.

"Dalam masa seminit, 700,000 daftar masuk. Jadi kita nasihatkan mereka nak daftar kita adakan penjarakan juga. Kalau boleh amal penjarakan sekarang ini, jadi kita boleh amalkan," katanya dalam sidang media harian di sini pada Isnin.

BACA: RM50 dikreditkan ke akaun e-dompet pengguna mulai Julai ini - PM

Justeru, kementeriannya bercadang untuk memanjangkan tempoh pendaftaran bagi mengatasi masalah itu.

"Kalau sejuta atau dua juta daftar sekali gus pastikan sesak. Hari ini, kita nak lihat kalau kita boleh panjangkan pendaftaran dalam tempoh 24 jam ke atau seminggu untuk membolehkan semua didaftarkan," ujar beliau lagi.