Kompleks Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cawangan Sarikei yang sedang dalam pembinaan dengan kos RM22 juta di Km 5 Jalan Repok, Sarikei, dijangka siap awal 2020, kata Pengarah JPJ Sarawak Mohd Syafiq Anas Abdullah.

Beliau berkata kerja-kerja tanah kompleks tersebut yang melibatkan kawasan seluas 4.85 hektar sedang dijalankan.

Menurutnya, selain menempatkan bangunan pejabat, turut dibina dalam kompleks tersebut ialah kemudahan sukan riadah serta kandang sita bagi menempatkan kenderaan-kenderaan yang disita atas kesalahan lesen kenderaan motor.

"Apabila siap nanti ia sudah tentu akan memberi keselesaan kepada para pelanggan JPJ. Masyarakat senang untuk datang berbanding pejabat sekarang yang menyewa bangunan kedai," katanya pada penutupan Program Satu Komuniti Satu JPJ Khas (SKSJ Khas) Meradong di Stadium Chen Ling Mei, SMK Kai Chung di sini pada Sabtu.

Seramai 2,666 peserta berusia 16 tahun ke atas berjaya mendapat lesen menunggang motosikal pada program itu yang dirasmikan Anggota Dewan Undangan Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing.

Sejak diperkenalkan pada tahun 2009 sehingga kini, 35 siri program SKSJ telah dilaksanakan di seluruh Sarawak dan berjaya melesenkan 21,283 orang.

-- BERNAMA