Kerajaan mewujudkan sebanyak 1,200 Komuniti Wi-fi (KW) di seluruh Sabah sebagai usaha menanam minat dan kesedaran tentang kepentingan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dalam kehidupan
seharian masyarakat luar bandar.

Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Sabah Datuk Siringan Gubat berkata daripada jumlah itu sebanyak 339 KW telah ditamatkan kontraknya berikutan kawasan terbabit mempunyai liputan selular seperti 3G

"Sementara sebanyak 73 lagi dalam peringkat penyediaan (pelaksanaan) KW di Sabah," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Jeffrey G Kitingan (STAR-Bingkor) yang ingin tahu rancangan kerajaan dalam menambah baik perkhidmatan internet di Sabah termasuk pemberian wi-fi percuma sepertimana di Pulau Pinang dan Selangor.

Sementara itu, Siringan berkata sehingga kini, sebanyak 212 menara komunikasi bagi perkhidmatan selular 2G dan 3G telah dilaksanakan di Sabah.

Menurut beliau, sebanyak 440 lokasi turut dinaik taraf 3G di Sabah dan dua lokasi lagi masih dalam peringkat pelaksanaan naik taraf.

Pada masa sama, beliau berkata capaian jalur lebar 3G di bawah program peluasan liputan TIME 3 turut menembusi hingga ke Tanjung Labian dan Tambisan.

Namun, katanya, keadaan geografi berbukit bukau dan kepadatan penduduk yang berselerak menjadi antara faktor menyebabkan liputan kurang memuaskan.