Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan terus meningkatkan kawalan pemeriksaan dan saringan di semua pintu masuk negara ini.

Ia bagi membendung penularan penyakit 2019 novel koronavirus terutama bagi jangkitan manusia ke manusia.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, bagaimanapun berkata, sehingga kini belum ada kes jangkitan koronavirus membabitkan manusia ke manusia di Malaysia.

Beliau juga menyifatkan beberapa kes yang berlaku di negara seperti Thailand dan Amerika Syarikat sebagai kes terpencil.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Koronavirus ragut lebih 250 nyawa

"Setakat ini belum (ada kes jangkitan manusia ke manusia di Malaysia). Yang paling penting kalau kita dapat sekat di pintu masuk, kita harap kita boleh elakkan daripada jangkitan manusia ke manusia.

"Kita tahu ada kes (jangkitan) dari manusia ke manusia. Kita tahu ada kes bukan setakat di negara China tapi di Thailand, Perancis dan Amerika Syarikat dan kes-kes itu masih boleh dikatakan kes terpencil. Kita harap perkara tersebut tidak berlaku di sini," katanya kepada media selepas melakukan lawatan sempena Tahun Baharu Cina di Wad Kanak-kanak Hospital Pulau Pinang hari ini.

Menurut Boon Chye, dari segi globalnya jumlah kes membabitkan koronavirus masih meningkat.

Justeru katanya, pihaknya akan terus berwaspada serta melakukan pelbagai usaha bagi membendung penularan jangkitan itu terutamanya jagaan di pintu masuk negara.

Beliau mengulas laporan akhbar yang mendakwa Thailand merekodkan kes pertama jangkitan koronavirus dari manusia ke manusia.

BACA: Thailand catat kes pertama jangkitan koronavirus manusia ke manusia

Menurut laporan, jangkitan itu berlaku ke atas seorang pemandu teksi yang dipercayai membawa seorang pelancong warga China.