Tanpa sebarang pengetahuan dan pendedahan tentang nuklear, ia tidak menghalang tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Besut, Terengganu untuk melakar sejarah dan mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.

Safyyah Muhammad Nasir, 16, Muhammad Syazwan Mat Sidik, 17, Muhammad Anuar Abd Ghani,17, membuktikan keupayaan mereka apabila menjuarai Pertandingan Pembangunan Sumber Manusia Untuk Tenaga Nuklear anjuran Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Gyeongju, Korea Selatan pada 30 Mei lepas.

Menampilkan projek bertajuk '100 Perkara Mengenai Sains Nuklear dan Kehidupan (100 Things About Nuclear Science And Life)', mereka berjaya menambat hati juri untuk dinobatkan sebagai juara.

Aplikasi permainan komputer yang dihasilkan mereka menyalurkan maklumat berkaitan sains nuklear dan penggunaan tenaga nuklear dalam kehidupan harian kepada masyarakat.

Safyyah berkata tanpa pengetahuan langsung dalam bidang tenaga nuklear, mereka berusaha mendapatkan maklumat dan pendedahan daripada IAEA dan Agensi Nuklear Malaysia.

Banyak kegunaan

"Ramai masih mempunyai persepsi bahawa tenaga nuklear hanya untuk senjata dan peperangan tetapi sebenarnya ia mempunyai banyak kegunaan.

"Pasukan kami mahu menyalurkan maklumat dan ilmu berhubung tenaga nuklear dalam kehidupan harian antaranya bidang perubatan, pertanian dan aero angkasa agar masyarakat lebih memahami mengenai keperluannya dalam kehidupan," kata Safyyah kepada pemberita di sini.

Safyyah dan dua rakannya itu, yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dari Busan, disambut Pengarah Bahagian Kokurikulum dan Keseniam Kementerian Pendidikan Malaysia Rozainum Ahmad.

Pasukan Malaysia itu, yang menggunakan nama 'KuBest Innovation Team', ditubuhkan pada Disember tahun lalu dan berjaya melalui tiga peringkat awal mengatasi 188 pasukan daripada 30 negara anggota IAEA.

Pasukan itu berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir setelah menewaskan empat negara lain iaitu Amerika Syarikat, Hungary, Jepun dan Korea Selatan.

Mampu bersaing

Sementara itu, Syazwan berkata walaupun Malaysia bukan negara pengeluar tenaga nuklear tetapi pasukannya mampu bersaing dengan pasukan-pasukan negara lain yang lebih maju dalam bidang tenaga nuklear.

Beliau mengakui pada mulanya tidak berminat dalam bidang nuklear namun setelah mendapat pendedahan daripada IAEA, beliau mahu meneruskan pengajian dalam bidang itu.

"Pihak IAEA telah menyatakan kesediaan untuk memberikan pendedahan lanjut dalam bidang ini," katanya.

-- BERNAMA