Seramai 1,910 bekas guru pencarum Kumpulan Wang Simpanan Guru-Guru (KWSG) diminta tampil bagi menuntut caruman mereka yang berjumlah RM13.58 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Guru Tun Hussein Onn (YGTHO) Zahirudin Mohammad Hanif berkata usaha menjejaki guru era sebelum kemerdekaan itu telah dilakukan sejak 2007 namun gagal atas pelbagai faktor seperti telah berpindah dari alamat asal.

Beliau berkata semua liabiliti KWSG termasuk dividen kepada pencarum atau waris mereka perlu diselesaikan segera selepas KWSG dibubarkan dan digantikan dengan penubuhan YGTHO pada tahun lepas.

"Pada masa ini tiada lagi pencarum aktif yang mencarum dengan KWSG apabila pencarum terakhir telah bersara pada Oktober 2004, namun pengurusan KWSG tetap diteruskan sehingga semua ahli KWSG mencapai umur persaraan pada Disember 2007.

"Selain 1,910 orang ini, ahli lain seramai 63,641 orang dengan nilai caruman keseluruhan berjumlah RM100 juta telah membuat pengeluaran caruman masing-masing secara berperingkat sejak KWSG ditubuhkan pada Januari 1962," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Zahirudin berkata kesemua baki caruman RM13.58 juta yang belum dituntut itu telah dihantar ke Pendaftar Wang Tidak Dituntut, Bahagian Pengurusan Amanah dan Sekuriti, Jabatan Akauntan Negara pada 31 Dis 2015.

Beliau berkata bekas guru atau waris mereka perlu hadir sendiri ke pejabat YGTHO di Kampung Attap, Kuala Lumpur untuk urusan pengeluaran caruman dan pegawai yayasan akan bersama membantu menguruskan pengeluaran wang tersebut dengan pihak Pendaftar Wang Tidak Dituntut.

Waris yang ingin menuntut wang bagi pihak bekas guru terbabit perlu membawa surat akuan bagi mewakili pencarum yang telah disahkan sama ada oleh Pegawai Kerajaan Gred A atau ketua kampung, katanya.

Zahirudin turut mengingatkan bahawa pihaknya tidak melantik mana-mana ejen bagi menguruskan pengeluaran wang caruman tersebut.

Ditubuhkan mengikut Seksyen 117 Akta Pelajaran 1961, KWSG bermatlamat menjaga kepentingan dan memberi faedah kepada guru-guru yang bernaung di bawah skim Perkhidmatan Guru-Guru Dipersatukan seperti amalan yang dilaksanakan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

-- BERNAMA