Seorang lelaki direman selama seminggu selepas dipercayai melakukan serangan seksual terhadap anak saudaranya dengan memaksa gadis itu memegang kemaluannya.

Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Sesyen/ Majistret Kuala Terengganu, Noradila Ab Latiff di sini, hari ini.

Suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut seksyen 14( b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.

Gadis yang berusia 14 tahun itu bukan sahaja menjadi mangsa serangan seksual malahan turut diugut bunuh sekiranya berbuat bising dan enggan melakukan apa yang disuruh dalam kejadian di Kuala Nerus pada Isnin lalu.

Ketika kejadian semua ahli keluarganya pergi melawat ibu saudara mangsa iaitu isteri suspek sebelum didatangi suspek berusia 20-an.

Sejurus tiba di rumah suspek memberi alasan mahu memberikan barangan kepada ibu mangsa dan tanpa sebarang syak, mangsa membenarkan lelaki terbabit masuk ke dalam rumahnya.

Suspek kemudian bertindak mengambil sehelai kain dan menutup mulut mangsa sebelum menolak remaja itu ke sofa selain turut mengugut mahu membunuh mangsa sekiranya berbuat bising dan seterusnya memaksa remaja itu memegang kemaluannya.

Mangsa bagaimanapun enggan menuruti kemahuan suspek tetapi akhirnya terpaksa akur sebelum suspek beredar meninggalkan dia berseorangan di rumah.

Susulan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Gong Badak, pada Selasa untuk tindakan selanjutnya.