Seorang penyelia tapak industri minyak dan gas maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh seekor anjing yang sedang melintas jalan.

Nahas berlaku di Jalan Santong berhampiran pusat pemprosesan minyak dan gas bandar Paka kira-kira 7.55 pagi pada Khamis.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa Mustaffa Said, 42 tahun disahkan meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Paka pada jam 8.22 pagi.

Ketika kejadian, mangsa yang tinggal di taman rakyat dalam perjalanan ke tempat kerjanya di kompleks pemprosesan gas dan minyak yang terletak tidak jauh dari lokasi kejadian.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dikatakan telah melanggar seekor anjing yang secara tiba-tiba melintas jalan menuju ke hutan berhampiran.

Mangsa yang cuba mengelak namun gagal dan menyebabkan motosikal mangsa melanggar haiwan tersebut lalu terjatuh dan terseret sejauh beberapa meter di atas jalan.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan laporan berkenaan.

Mayat mangsa dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.